Fatimah puji kejayaan Bonnie Bunyau harumkan nama Sarawak di Para ASEAN 2026

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika memaklumkan kejayaan atlet Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, meraih pingat emas acara powerlifting lelaki 72 kilogram pada Temasya Sukan Para ASEAN Aichi-Nagoya 2026, ketika sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 21 Oktober: Atlet Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, meraih pingat emas dalam acara angkat berat (powerlifting) lelaki 72 kilogram pada Temasya Sukan Para ASEAN Aichi-Nagoya 2026 selepas mencatatkan angkatan seberat 225 kilogram.

Kejayaan itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang berkata beliau menerima berita berkenaan pagi tadi.

Menurutnya, Bonnie mengungguli acara itu dengan mengatasi atlet China yang meraih pingat perak menerusi angkatan 212 kilogram, manakala atlet Iran membawa pulang pingat gangsa selepas mencatatkan angkatan 208 kilogram.

Beliau berkata, kejayaan itu membanggakan Sarawak, khususnya dalam usaha melahirkan atlet orang kurang upaya (OKU) yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak kepada Sarawak OKU Skills Development Association (SOSDA) di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

BONNIE Bunyau Gustin meraih pingat emas acara angkat berat lelaki 72 kilogram selepas mencatatkan angkatan 225 kilogram pada Temasya Sukan Para ASEAN Aichi-Nagoya 2026. Foto Agensi

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa lima atlet Sarawak dipilih untuk mewakili Malaysia pada temasya berkenaan, selain empat jurulatih dari Sarawak.

Lima atlet itu ialah Wiro Julin dalam acara memanah, Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi dalam badminton, Angeline Melissa Lawas dalam boccia, serta Bonnie Bunyau Gustin dan Nicodemus Manggoi Moses dalam powerlifting.

Menurut Fatimah, pemilihan atlet berkenaan mencerminkan sumbangan Sarawak terhadap pembangunan sukan OKU hingga ke peringkat serantau.

Beliau berkata, pihaknya akan berkongsi perkembangan dan keputusan atlet Sarawak yang bertanding di Nagoya sebaik sahaja maklumat lanjut diterima.

Oleh Afiq Sallehi