JPNS gesa sekolah swasta perketat keselamatan warga sekolah

Facebook
WhatsApp
DATUK Omar Mahli.

KUCHING, 21 Oktober: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menasihatkan pihak pengurusan sekolah swasta supaya memberi perhatian serius terhadap keselamatan murid serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang susulan kejadian seorang guru dilaporkan diserang di sekolah swasta pagi tadi.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Omar Mahli berkata, JPNS telah mengunjungi sekolah itu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menerima laporan daripada pihak pengurusan berhubung insiden berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kes itu masih dalam siasatan polis dan pihaknya tidak mahu mendahului proses siasatan.

“Jadi, kita hanya menasihatkan pihak sekolah supaya memastikan keselamatan murid-murid di sekolah antarabangsa tersebut diberi perhatian yang serius, dan juga memikirkan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mengelakkan peristiwa yang sama berulang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan mengadakan mesyuarat tergempar susulan kejadian itu, Omar berkata setakat ini tiada mesyuarat sedemikian dirancang.

Sebaliknya, JPNS akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak sekolah sekiranya diperlukan.

“Di pihak Kementerian Pendidikan (KPM) pula, kita hanya memberi bantuan atau kerjasama jika diperlukan oleh mereka.

“Setakat ini, kita akan terus memberi bantuan dan kerjasama jika diperlukan oleh pihak Tunku Putra,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memastikan langkah keselamatan yang bersesuaian diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Oleh Shahrul Qaizat