Larian Obor Sukan SEA 2027 bakal jelajah 12 bahagian Sarawak

Facebook
WhatsApp
ABDUL Karim ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini. Foto Ukas

PETRA JAYA, 20 Oktober: Larian Obor Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027 akan menjelajah kesemua 12 bahagian di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan temasya itu serta melibatkan masyarakat di seluruh negeri.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu dirancang untuk membawa kemeriahan temasya berkenaan melangkaui Kuching, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat di bahagian lain turut merasai semangat penganjuran acara sukan serantau itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Menurutnya, larian obor itu merupakan antara aktiviti promosi yang dirancang pada 2027 menjelang penganjuran Sukan SEA Ke-34, yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan.

LARIAN Obor Sukan SEA 2027 bakal jelajah 12 bahagian yang terdapat di Sarawak. Foto janaan AI

“Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 18 daripada 43 sukan di Sukan SEA 2027, dengan sukan tari (tarian sukan) yang baru ditambah dalam senarai acara di Sarawak.

“Aktiviti promosi akan diteruskan pada 2027, termasuk Larian Obor merentasi kesemua 12 bahagian di Sarawak. Inisiatif ini akan melanjutkan keterujaan terhadap temasya tersebut melangkaui Kuching dan memberi peluang kepada komuniti untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini,” katanya.

Sebagai persediaan, Sarawak mengadakan sambutan kira detik setahun menjelang temasya itu pada 18 September lalu, selain melancarkan laman web rasmi Sukan SEA Sarawak bagi memudahkan orang ramai dan media mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini.

Selain itu, penganjuran temasya itu turut menjadi landasan kepada perancangan sukan antarabangsa seterusnya apabila kerajaan Sarawak memberikan persetujuan prinsip kepada Kuching untuk menjadi tuan rumah Sukan Perpaduan Islam Ke-7 pada 2029.

Temasya berkenaan dijangka menghimpunkan penyertaan dari 57 negara dan dilihat berpotensi menyumbang kepada sektor pelancongan, pelaburan serta pertumbuhan perniagaan tempatan.

Oleh Shikin Mahmud

Mei Xing umum bersara

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Pemain beregu wanita kebangsaan Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif, selepas lebih sedekad