KUALA LUMPUR, 20 Oktober:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin, atas kejayaannya meraih pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Tahniah kepada Bonnie Bunyau Gustin yang terus mengharumkan nama negara menerusi kejayaan meraih pingat emas dalam acara angkat berat para lelaki kategori bawah 72 kilogram (kg) pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Moga terus mengukir kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bonnie menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengungguli kategori 72 kg lelaki di Nagoya City Trade and Industry Center, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2022 di Hangzhou.
Kemenangan itu turut mengubat kekecewaan Bonnie selepas gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Julai lepas, apabila beliau sekadar meraih pingat gangsa dalam kategori ringan (lightweight) lelaki. – Bernama




