KUALA LUMPUR, 20 Oktober: Jaguh sukan angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin, menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengungguli kategori 72 kilogram (kg) lelaki di Pusat Perdagangan dan Perindustrian Bandar Nagoya, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Bonnie mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2022 di Hangzhou.
Atlet berusia 27 tahun kelahiran Serian, Sarawak itu memulakan saingan dengan angkatan 216 kg sebelum meningkatkan angkatannya kepada 225 kg pada percubaan kedua.
Bagaimanapun, Bonnie gagal menyempurnakan angkatan 231 kg pada percubaan terakhir, sekali gus menjadikan 225 kg sebagai angkatan terbaiknya.
Atlet China, Zhang Pingkang, meraih pingat perak dengan angkatan terbaik 212 kg, manakala wakil Iran, Mohsen Bakhtiar, membawa pulang pingat gangsa selepas mencatat angkatan 208 kg.
Bonnie, yang juga juara Sukan Paralimpik dua kali, beraksi pada peringkat akhir itu dengan status sebagai pemegang rekod dunia 232 kg, rekod Asia 231 kg dan rekod temasya 230 kg.
Kemenangan itu turut mengubat kekecewaan Bonnie selepas gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Julai lepas, apabila beliau sekadar meraih pingat gangsa dalam kategori ringan (lightweight) lelaki.
Pingat emas pertama kontinjen Malaysia disumbangkan oleh pelumba berbasikal trek para, Zuhairie Ahmad Tarmizi, yang mengungguli acara ujian masa 1,000 meter kategori C4-C5 lelaki. – Bernama




