Dakwaan rasuah RM350,000: Polis siasat pegawai kanan SPRM

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Polis mengesahkan dua kertas siasatan dibuka secara berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menerima rasuah berjumlah RM350,000 daripada seorang individu pada 2017.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima berhubung perkara itu, yang turut tular di beberapa platform media sosial.

Beliau berkata, kertas siasatan pertama dibuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan penjawat awam menerima benda berharga tanpa balasan daripada pihak yang mempunyai hubungan dengan urusan rasmi mereka.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, siasatan kedua pula dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan memfitnah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan itu turut merangkumi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Kumar, polis juga akan mengemukakan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) di bawah Seksyen 108(2) Kanun Tatacara Jenayah kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Langkah ini termasuk merakam percakapan saksi berkaitan serta mendapatkan pengesahan daripada SPRM mengenai status siasatan terdahulu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes berkenaan dan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab demi memelihara keamanan serta keselamatan negara.

Terdahulu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa SPRM dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) supaya menyiasat segera dakwaan yang membabitkan pegawai kanan berkenaan demi memelihara integriti agensi itu.

Kes berkenaan pernah disiasat SPRM pada 2018, namun siasatan ditutup selepas tiada bukti kesalahan ditemukan ketika itu. – Bernama