KUCHING, 13 Oktober: Inisiatif menyediakan kemudahan pembelajaran digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang diteruskan tahun ini menerusi pembelian lapan unit televisyen (TV) Pintar Interaktif untuk pelajar Tingkatan Empat dengan peruntukan RM96,000.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, berkata bantuan itu menyusuli penyediaan 10 unit TV Pintar Interaktif untuk pelajar Tingkatan Lima di sekolah sama pada tahun lalu.
Menurutnya, peluasan inisiatif itu bertujuan membolehkan lebih ramai pelajar menikmati kemudahan pembelajaran yang memanfaatkan teknologi.
“Dengan memperluas inisiatif ini kepada pelajar Tingkatan Empat, kami berharap lebih ramai pelajar dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik,” katanya.
Kong berkata, teknologi memainkan peranan penting dalam pendidikan kerana membantu guru menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan dan memudahkan pelajar memahami bahan pembelajaran.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek kepada pihak sekolah, sambil mengadakan perbincangan dengan pengetua dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai keperluan semasa sekolah.
Katanya, komunikasi berterusan dengan pihak sekolah penting bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh kemudahan pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang bagi membantu generasi muda Sarawak mencapai kejayaan.
Oleh Connie Chieng




