DUN: Cuti umum bertindih, mekanisme gantian diperkemas

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA, 13 Oktober: Mekanisme penetapan cuti umum gantian di Sarawak bakal diperkemas menerusi pindaan Ordinan Cuti Umum bagi membolehkan cuti gantian berkuat kuasa secara automatik apabila berlaku pertindihan cuti, tanpa memerlukan pemberitahuan berasingan melalui Warta Kerajaan bagi setiap kejadian.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pindaan itu bertujuan memberikan kepastian kepada orang ramai serta meningkatkan kecekapan pentadbiran berkaitan cuti umum di negeri ini.

“Ini akan memberikan kepastian yang lebih besar kepada orang ramai dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kerana cuti umum gantian akan berkuat kuasa secara automatik di bawah undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Menurutnya, ordinan sedia ada memperuntukkan hari Isnin berikutnya sebagai cuti umum apabila sesuatu cuti umum jatuh pada Ahad, namun tidak menetapkan mekanisme khusus apabila sesuatu cuti umum bertindih dengan cuti umum lain.

Keadaan itu pernah berlaku pada 2025 apabila hari kedua Hari Gawai bertindih dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, manakala pada 2026, Hari Wesak jatuh pada Ahad ketika Isnin dan Selasa sudah ditetapkan sebagai cuti umum Gawai.

Beliau berkata, keadaan sedemikian sebelum ini memerlukan pemberitahuan berasingan melalui Warta Kerajaan bagi menetapkan cuti umum gantian, yang berpotensi menimbulkan kelewatan serta kesulitan kepada sektor awam dan swasta.

Menerusi pindaan itu, peruntukan berkaitan cuti umum yang jatuh pada Ahad dan pertindihan dengan cuti umum lain akan diselaraskan di bawah Seksyen 3 Ordinan Cuti Umum bagi membolehkan mekanisme cuti gantian beroperasi secara automatik.

Bagaimanapun, pindaan itu mengekalkan kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk menetapkan sebaliknya melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan sekiranya keadaan memerlukan.

RUU itu turut memperuntukkan pemansuhan Jadual Kedua yang tidak lagi relevan, berserta pindaan berbangkit bagi memastikan peruntukan ordinan berkenaan lebih jelas dan sesuai dengan keperluan semasa.

RUU berkenaan diluluskan sebulat suara pada peringkat Bacaan Kali Ketiga selepas dibahaskan oleh tujuh ADUN daripada kawasan Bukit Assek, Pelagus, Kalaka, Baleh, Ngemah, Krian dan Jepak.

Oleh Adele Rissa