PETRA JAYA, 13 Oktober: Michael Mujah Lihan dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sarawak bagi tempoh tiga tahun selepas pencalonannya dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan disokong oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.
Pelantikan semula itu dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada persidangan hari ini.
Uggah berkata, pelantikan semula Michael wajar dipertimbangkan berdasarkan pengalaman dan latar belakang perkhidmatannya, termasuk ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sebelum dilantik sebagai senator.
Katanya, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara, Michael telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya, selain mempunyai pengalaman dalam kepimpinan politik dan pembangunan masyarakat.
Menurutnya, pelantikan Ahli Dewan Negara juga penting bagi memastikan perwakilan Sarawak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Tiada pencalonan lain dikemukakan bagi jawatan berkenaan ketika usul pelantikan semula itu dibentangkan pada persidangan DUN Sarawak.
Michael sebelum ini dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun, bermula 11 Disember 2023 hingga 10 Disember 2026.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik, termasuk berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2016.
Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau pernah menerajui cawangan parti di Belaga sebelum memimpin cawangan di Murum mulai 2016.
Michael turut aktif dalam pertubuhan masyarakat Orang Ulu, termasuk Forum Orang Ulu Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak.





