DUN: Cuti gantian lebih jelas, pekerja dapat kepastian

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri (GPS-Kalaka) membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya. Foto Japen

PETRA JAYA, 13 Oktober: Kepastian mengenai cuti gantian penting bagi melindungi kebajikan pekerja, memudahkan perancangan keluarga dan membantu majikan menyusun operasi, terutama apabila hari kelepasan am jatuh pada Ahad atau bertindih dengan hari kelepasan am yang lain.

Mohamad Duri (GPS-Kalaka) berkata, pindaan Ordinan Cuti Umum Sarawak perlu memperjelas kaedah penetapan cuti gantian bagi mengelakkan kekeliruan dan perbezaan tafsiran antara majikan dengan pekerja.

Menurutnya, kepastian itu membolehkan pekerja merancang urusan peribadi dan keluarga lebih awal, manakala majikan dapat menyusun jadual kerja berdasarkan peraturan yang seragam.

“Cuti umum bukan sekadar tarikh yang ditandakan dalam kalendar. Cuti umum memberikan ruang kepada rakyat untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga, menguruskan urusan peribadi serta menyertai aktiviti sosial dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Cuti Umum (Pindaan), 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

NICHOLAS Kudi Jantai (GPS-Baleh) membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 pada persidangan DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya. Foto Japen

Sehubungan itu, Mohamad mencadangkan agar kerajaan mempergiat penerangan mengenai pindaan berkenaan, termasuk menyediakan panduan yang mudah difahami serta mengemas kini kalendar rasmi dan hebahan awam selepas ketetapan baharu berkuat kuasa.

Sementara itu, Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) berkata, kepastian mengenai cuti gantian turut memberi manfaat kepada masyarakat pedalaman yang perlu merancang perjalanan jauh untuk pulang ke rumah panjang dan menyambut perayaan bersama keluarga.

Katanya, bagi penduduk Baleh dan Kapit, cuti umum bukan sekadar berkaitan urusan pekerjaan, malah memberi peluang kepada mereka yang bekerja di bandar untuk pulang ke kampung halaman dan melaksanakan adat resam.

“Bagi masyarakat di pedalaman, cuti umum mempunyai makna yang mendalam. Ia merupakan peluang untuk pulang ke rumah panjang, berkumpul bersama keluarga dan melaksanakan adat,” katanya.

Beliau berkata, kepastian tarikh cuti ketika sambutan Hari Gawai Dayak, misalnya, membolehkan pekerja merancang perjalanan lebih awal dan meluangkan masa bersama keluarga tanpa dibelenggu ketidakpastian mengenai jadual cuti.

Menurut Nicholas, perancangan cuti yang lebih teratur juga berpotensi merancakkan ekonomi tempatan apabila lebih ramai pengunjung mengambil peluang untuk berkunjung ke Baleh dan Kapit.

Katanya, keadaan itu dapat membuka peluang kepada pengusaha inap desa, pengusaha bot penambang, peniaga kecil dan pengusaha makanan untuk meningkatkan pendapatan.

Untuk rekod, antara perubahan utama yang dicadangkan melalui RUU berkenaan adalah memperjelas kaedah penetapan cuti gantian apabila hari kelepasan am jatuh pada Ahad.

Hari Isnin berikutnya akan menjadi cuti gantian, manakala hari Selasa menjadi cuti gantian sekiranya Isnin turut merupakan hari kelepasan am, melainkan diperintahkan sebaliknya oleh Yang di-Pertua Negeri melalui Warta.

Oleh Adele Rissa