Kualiti udara enam kawasan di Sarawak pada tahap tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 6.00 petang. Sumber NREB

KUCHING, 13 Oktober: Kualiti udara di enam kawasan di Sarawak berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 112 hingga 180 setakat 6.00 petang ini.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 180, diikuti Sri Aman (159) dan Serian (153).

Tiga kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Tebedu dan Belaga, masing-masing dengan bacaan 130, serta Kanowit (112).

Sementara itu, 14 kawasan lain merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana. Kapit mencatatkan bacaan tertinggi dalam kategori itu, iaitu 94.

Kapit diikuti Bintulu (93), Samarahan (92), Kuching (90), Sarikei (85), Samalaju (83) dan Sibu (77).

Lundu dan Lawas masing-masing mencatatkan bacaan 75, diikuti Miri (71), ILP Miri dan Bario (69), Mukah (64) serta Limbang (62).

Bagaimanapun, tiada data terkini direkodkan bagi stesen pemantauan kualiti udara bergerak (MCAQM) di Betong.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 menunjukkan tahap tidak sihat.

Kualiti udara pada tahap tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan golongan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

Secara keseluruhan, tiada kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya setakat 6.00 petang ini.

Oleh Norman B