KUCHING, 12 Oktober: Kumpulan Lola muncul juara kategori Open dalam Pertandingan Tarian K-pop Be A Star 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,500 dan trofi. Pertandingan itu berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 3 di sini pada Sabtu lalu.
DG Boyz menduduki tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, manakala Lunaire di tempat ketiga menerima RM1,000.
Bagi kategori Solo, Shevayne Teo muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi, diikuti Maple Yong di tempat kedua dan Jayven Chia di tempat ketiga.

Pertandingan anjuran Star Studio itu menghimpunkan penari dari Singapura, Indonesia, Sabah serta beberapa bahagian di Sarawak, termasuk Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.
Pengarah Star Studio, Kelby Than, berkata pertandingan itu menyediakan platform kepada penari muda untuk menimba pengalaman membuat persembahan, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri.
Mewakili Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato’ Wee Hong Seng, pada majlis itu, Cr. Eric Tay berkata pertandingan berkenaan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut trofi, malah turut memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik persembahan dan meningkatkan mutu tarian masing-masing.

Beliau turut menekankan bahawa tarian K-pop memerlukan disiplin, kerja berpasukan, kreativiti dan kecergasan fizikal. Selain itu, aktiviti berkenaan menggalakkan golongan muda menjalin persahabatan dan membina keyakinan diri.
Program Be A Star 2026 berlangsung selama tiga hari, dari 9 hingga 11 Oktober, dan turut menampilkan acara makanan jalanan Korea, Seoul Vibe 2026 Korean Street Food, serta bengkel tarian K-pop yang dikendalikan oleh juri antarabangsa.
Penganjuran program itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Sarawak More To Discover.
Oleh Afiq Sallehi





