PANTU, 12 Oktober: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian N31 Bukit Begunan sebulat suara menyatakan sokongan kepada Datuk Mong Dagang untuk dicalonkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Keputusan itu antara tiga resolusi utama yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PRS Bahagian Bukit Begunan, sekali gus memperlihatkan pendirian ahli bahagian berkenaan terhadap kepimpinan parti dan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengerusi PRS Bahagian Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, dalam ucapannya menegaskan kepentingan seluruh ahli terus berdiri teguh dalam perjuangan parti, mengekalkan kesetiaan terhadap kepimpinan serta menjadikan parti sebagai platform untuk berkhidmat dan membantu rakyat.
Beliau turut menyeru supaya usaha merekrut ahli baharu dipergiatkan, khususnya dalam kalangan golongan muda, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti yang dinamik, progresif dan mampu mendepani cabaran politik semasa.
Menurutnya, keterbukaan menerima pandangan dan kritikan merupakan sebahagian daripada proses pengurusan organisasi yang perlu ditangani secara matang, berhemah dan profesional.
“Perbezaan pandangan hendaklah dijadikan ruang untuk memperbaiki kelemahan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja parti,” katanya.
Mong turut mengingatkan bahawa landskap politik masa kini semakin mencabar dan memerlukan pendekatan kempen yang lebih moden, strategik serta berpandangan jauh.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi, penyampaian maklumat dan pendekatan untuk mendekati masyarakat secara lebih meluas.
Mesyuarat berkenaan turut meluluskan dua lagi resolusi, iaitu menyokong penuh kepimpinan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam menerajui kepimpinan dan pembangunan Sarawak, serta menyatakan sokongan kepada Presiden PRS, Dato Sri John Sikie Tayai, dalam menerajui parti dan memperkukuh perjuangan demi kepentingan rakyat.
Mong berkata, keputusan sebulat suara itu memperlihatkan kesepaduan dan komitmen ahli PRS Bahagian Bukit Begunan terhadap kepimpinan parti serta perjuangan untuk kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata jentera PRS Bahagian Bukit Begunan bersedia menghadapi PRN13 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.
Persiapan akan terus diperkukuh menerusi penyelarasan organisasi, penggemblengan tenaga ahli serta pendekatan komunikasi yang lebih berkesan bagi memastikan hubungan dengan masyarakat terus dipelihara.
Dalam pada itu, Mong, 71, mempunyai pengalaman panjang dalam politik Sarawak apabila mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1996.
Berdasarkan rekod, beliau memenangi kerusi berkenaan sebanyak tujuh kali, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 1997, dengan kemenangan terbaharunya pada PRN Sarawak 2021.
Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada latar belakang politik beliau ketika PRS Bahagian Bukit Begunan memperkukuh organisasi dan menyusun persiapan menghadapi PRN13.
Oleh Adi Safarman



