MLBB perluas jejak ekonomi melalui kerjasama perniagaan, industri kreatif

Facebook
WhatsApp
SEKITAR Karnival Ulang Tahun ke-10 MLBB di Kuching.

KUCHING, 10 Oktober: Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) terus memperkukuh peranannya dalam ekonomi digital Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai perniagaan, kolaborasi bersama industri kreatif tempatan serta penganjuran acara berkaitan permainan yang menjana peluang komersial.

Ketua Penerbitan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kampus MOONTON Games Jeffery Chan berkata ekosistem permainan mudah alih popular yang semakin berkembang itu membuka peluang kepada perniagaan tempatan dalam pelbagai sektor, termasuk telekomunikasi, automotif dan perkhidmatan harian.

Beliau berkata kerjasama itu membolehkan perniagaan berinteraksi dengan komuniti pemain MLBB yang semakin berkembang, selain meluaskan jangkauan komersial mereka menerusi kerjasama dalam industri hiburan digital.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem MLBB, di samping menyumbang kepada ekonomi kreatif dan digital Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Karnival Ulang Tahun ke-10 MLBB di sini baru-baru ini.

Jeffery berkata MOONTON Games turut memperkukuh kerjasama dengan industri kreatif Malaysia menerusi perkongsian yang melibatkan harta intelek tempatan, termasuk watak animasi Ejen Ali, yang membuat penampilan sulung dalam MLBB pada Kejohanan Dunia M7 di Indonesia.

Beliau berkata kerjasama sedemikian menyediakan platform untuk memperkenalkan kandungan kreatif Malaysia kepada penonton antarabangsa, selain memperkukuh hubungan antara industri permainan dan hiburan.

Selain kerjasama komersial, Jeffery berkata MLBB turut meraikan budaya Malaysia menerusi inisiatif seperti kempen Bulan Emas tahunan sempena Ramadan dan Hari Raya.

Beliau berkata program Guru Juara MOONTON Masterclass adalah inisiatif yang bertujuan membantu pendidik menggalakkan amalan permainan yang terancang dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Ketua Penerbitan MLBB Malaysia MOONTON Games Graws Wen berkata peluang ekonomi yang dijana oleh MLBB turut melangkaui platform digital menerusi penganjuran kejohanan e-sukan dan acara fizikal.

BEKAS pemain profesional MLBB dan pencipta kandungan popular Muhammad Faris Zakaria, yang lebih dikenali sebagai Soloz

Beliau berkata aktiviti berkenaan memberikan manfaat kepada ekosistem komersial yang lebih luas dengan membuka peluang kepada perniagaan dan profesional yang terlibat dalam pengurusan acara, produksi dan hiburan.

Graws berkata Karnival Ulang Tahun ke-10 MLBB di Kuching adalah contoh bagaimana acara berkaitan permainan dapat menghimpunkan pelbagai industri dan perniagaan dalam satu platform.

Sementara itu, bekas pemain profesional MLBB dan pencipta kandungan popular Muhammad Faris Zakaria, yang lebih dikenali sebagai Soloz sependapat bahawa perkembangan industri e-sukan Malaysia turut menarik pelaburan asing, khususnya susulan pengenalan program kerjasama dalam Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL MY).

Beliau berkata penglibatan pelabur asing dan penaja komersial mencerminkan sumbangan industri itu yang semakin meningkat kepada ekonomi digital negara.

“Apabila MPL memperkenalkan sistem francais, beberapa pelabur dari negara lain mula melabur di Malaysia. Bagi saya, apabila pelaburan itu masuk ke Malaysia, ia membantu memacu ekosistem ini,” katanya.

Soloz berkata peluang ekonomi yang dijana oleh e-sukan tidak terhad kepada pemain profesional sahaja kerana kejohanan turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada penganjur acara, kru produksi dan golongan profesional lain yang bekerja di sebalik tabir.

“Berbanding dahulu, ekosistem e-sukan hari ini jauh lebih menarik dengan banyak peluang tersedia. Walaupun seseorang tidak menjadi pemain profesional, mereka masih boleh bekerja di sebalik tabir dan memperoleh pendapatan,” katanya. – Bernama