KOTA SAMARAHAN, 12 Oktober: Lagu Derita membawa Rul Azhar dari Zon Utara meraih kemenangan tertinggi apabila dinobatkan sebagai juara Bintang P. Ramlee 2026 pada malam kemuncak pertandingan di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), malam tadi.
Rul Azhar atau nama sebenarnya Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil selepas menewaskan lima finalis lain yang mewakili zon masing-masing.
Kemenangan itu mengangkat Rul Azhar sebagai juara edisi 2026, sekali gus meneruskan tradisi pertandingan berkenaan dalam mengetengahkan bakat nyanyian yang mengangkat karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada khalayak masa kini.

Naib juara menjadi milik MahaZail (Mahathir Zailani) dari Zon Sarawak yang menerima wang tunai RM15,000, trofi dan sijil, manakala Ejan Ramlee (Jeffryzan Jamil) dari Zon Sabah menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.
Sementara itu, Mohd Ridzuan Md Taib dari Zon Selatan memenangi kategori Persembahan Terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir menyaksikan malam kemuncak itu dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pertandingan dwitahunan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama kerajaan Sarawak itu menampilkan enam finalis yang berentap menerusi dua segmen utama, iaitu Irama Sang Seniman dan Harmoni Kasih.
Menerusi segmen Irama Sang Seniman, setiap finalis mempersembahkan sebuah lagu ciptaan P. Ramlee secara solo, manakala segmen Harmoni Kasih menampilkan persembahan trio bersama penyanyi wanita Sarawak yang didahului lakonan pendek.
Bermula di Sarawak pada 1988 sebelum diperluas ke peringkat kebangsaan pada 1993, Bintang P. Ramlee terus menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat nyanyian sambil menghidupkan warisan muzik Seniman Agung itu kepada generasi baharu.
Oleh Adele Rissa




