KUCHING, 10 Oktober: Permainan mudah alih popular Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) membuka laluan kerjaya baharu kepada generasi muda Malaysia apabila pengaruhnya semakin berkembang melangkaui arena e-sukan, termasuk dalam industri kandungan digital dan hiburan.
Ketua Penerbitan MLBB Malaysia MOONTON Games, Graws Wen berkata populariti permainan itu mendorong golongan muda meneroka peluang kerjaya dalam pelbagai bidang, termasuk penciptaan kandungan, produksi dan agensi digital.
Beliau berkata bekas pemain profesional MLBB Muhammad Faris Zakaria yang lebih dikenali sebagai Soloz merupakan antara contoh individu yang berjaya beralih daripada arena permainan kompetitif kepada industri hiburan digital.
“Saya fikir Soloz merupakan individu yang cukup ikonik di sini. Beliau pernah menjadi pemain profesional dan kini antara pemimpin pendapat utama (KOL) dalam industri permainan video.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu, kami turut bekerjasama menghasilkan sebuah filem e-sukan yang mengetengahkan kisah Soloz bagi memberikan inspirasi kepada generasi muda,” katanya kepada Bernama pada sambutan ulang tahun ke-10 MLBB di sini.
Wen berkata populariti MLBB turut mendorong lebih ramai anak muda Malaysia mempertimbangkan kerjaya dalam industri e-sukan yang lebih luas, termasuk dalam bidang produksi acara, penciptaan kandungan dan pemasaran digital.
“Pada pandangan saya, kebanyakan individu yang bekerja di syarikat atau studio e-sukan di Malaysia mengenali MLBB. Ramai antara mereka menceburi industri ini kerana pada awalnya mempunyai minat terhadap permainan berkenaan.
“Minat itu akhirnya mendorong mereka mempertimbangkan untuk membina kerjaya dalam industri e-sukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerbitan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kampus MOONTON Games, Jeffery Chan berkata MLBB juga semakin dimanfaatkan oleh golongan pendidik sebagai alat motivasi bagi menggalakkan pelajar mencapai prestasi akademik yang lebih baik.
Beliau berkata guru yang menyertai program sekolah anjuran syarikat itu mula menggunakan MLBB sebagai pendekatan untuk mendorong pelajar, sama seperti sukan tradisional seperti bola sepak, bola keranjang dan badminton yang sebelum ini dijadikan ganjaran.
“Sebelum ini, guru menggalakkan pelajar bermain bola sepak, bola keranjang atau badminton sebagai motivasi. Kini, elemen MLBB turut diperkenalkan,” katanya.
Chan memberikan contoh terbaharu pada peringkat akhir kejohanan bawah 12 tahun Guru Juara MOONTON, apabila seorang guru mendedahkan bahawa pelajar perlu memperoleh keputusan peperiksaan yang baik sebelum dipilih mewakili pasukan MLBB sekolah mereka.
Dalam pada itu, pengulas e-sukan Mohammad Amirul Aiman bin Mohammad Kamal, yang lebih dikenali sebagai Laphel, berkata MLBB mengubah kehidupannya apabila permainan itu membuka peluang kepadanya untuk membina kerjaya dalam industri berkenaan selepas beliau bergelut mendapatkan pekerjaan selama dua tahun.
Laphel, yang berkecimpung dalam MLBB selama kira-kira lapan tahun, berkata perkembangan ekosistem permainan itu turut mewujudkan peluang kerjaya di luar bidang permainan profesional, sekali gus menggalakkan individu berbakat meneroka industri berkenaan berdasarkan kekuatan dan minat masing-masing.
“Apa juga cita-cita anda, walaupun masih belum pasti sama ada mahu menjadi pengulas, pemilik pasukan atau pemain, mulakan sahaja dengan mana-mana peluang yang ada.
“Apabila anda mengambil langkah pertama, anda akan mula mengenali orang lain dan mereka juga akan mula mengenali anda. Pada ketika itulah lebih banyak peluang akan terbuka,” katanya. – Bernama




