KUCHING, 11 Oktober: Ribuan pengunjung membanjiri Padang Merdeka di sini malam tadi bagi menyaksikan Konsert Rakyat 2026 yang menghimpunkan barisan artis tempatan dan popular tanah air sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Konsert berkenaan menghimpunkan penggiat seni tempatan bersama penyanyi popular tanah air, sekali gus menawarkan kepelbagaian persembahan muzik kepada pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan itu.

Antara artis tempatan yang tampil menghiburkan pengunjung ialah Harry Paren, Dayana Shini, Raquel, Carrie Geres dan Yadee, selain Ramles Walter yang membawakan lagu popularnya, Hey Kumang dan Mr Akai Akai.

Kumpulan Floor 88 turut menghangatkan pentas menerusi lagu popular mereka, Aqilah, Zalikha dan Hutang, yang menceriakan suasana konsert.
Penyanyi Aina Abdul turut membuat persembahan pada malam berkenaan, menampilkan keistimewaan vokalnya di hadapan pengunjung yang hadir.
Menjelang penghujung konsert, Amy Search mengambil alih pentas dengan menyampaikan beberapa lagu popularnya termasuk Cinta Kita, Isabella, Tiada Lagi dan Pawana.

Persembahan penyanyi rock itu mengimbau nostalgia peminat menerusi lagu-lagu yang terus mendapat tempat dalam industri muzik tempatan.
Konsert Rakyat 2026 bukan sahaja menjadi pentas hiburan, malah menghimpunkan orang ramai untuk bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam suasana penuh kemeriahan.
Oleh Adele Rissa




