SARIKEI, 12 Oktober: Persatuan Warga Emas Sarikei terus memainkan peranan dalam menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat menerusi penganjuran aktiviti riadah yang turut mengeratkan hubungan sesama ahli.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata penyertaan golongan warga emas dalam kegiatan seumpama itu memperlihatkan komitmen mereka untuk menjaga kesihatan dan menikmati kehidupan yang berkualiti.
Katanya, aktiviti berjalan kaki untuk kesihatan dan sukaneka yang diadakan sempena sambutan Hari Warga Emas membuktikan bahawa peningkatan usia bukan penghalang untuk terus aktif dalam masyarakat.
“Aktiviti berjalan kaki untuk kesihatan dan sukaneka yang diadakan sempena Hari Warga Emas ini memperlihatkan kecergasan dan semangat golongan warga emas, selain mencerminkan sikap positif mereka dalam mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Huang, yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan, pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sambutan Hari Warga Emas anjuran Persatuan Warga Emas Sarikei di Kompleks Sukan Sarikei, kelmarin.
Beliau berkata golongan warga emas merupakan tunjang penting kepada masyarakat Sarikei kerana kemajuan kawasan itu dan perkembangan generasi muda hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan mereka selama bertahun-tahun.


ANTARA ahli Persatuan Warga Emas Sarikei yang menerima angpau. Foto Pusat Khidmat DUN Repok
“Pengalaman dan pengorbanan generasi terdahulu telah menyediakan asas penting kepada pembangunan masyarakat yang dinikmati pada masa kini.
“Sebagai wakil rakyat, saya merakamkan penghargaan yang mendalam atas kepercayaan, sokongan dan dorongan yang diberikan oleh golongan warga emas selama ini.
“Saya berharap kita dapat terus berganding bahu membangunkan Sarikei yang indah,” katanya.
Dalam pada itu, Huang berkata beliau terus berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di Sarikei, termasuk melebarkan jalan raya, menaik taraf kemudahan awam dan menambah baik prasarana.
Katanya, pembangunan itu penting bagi menyediakan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan sesuai didiami oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan warga emas.
“Kemudahan yang lebih baik dapat membantu warga emas menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah dan menikmati usia persaraan tanpa kebimbangan yang tidak perlu,” katanya.
Huang turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Warga Emas Sarikei bagi menyokong penganjuran lebih banyak aktiviti yang memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental ahli persatuan itu.
Oleh Earl Anek



