LUNDU: Sarawak kini menjadi rujukan beberapa negeri lain dalam merangka pendekatan pembangunan dan mengurus ekonomi baharu yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerima kunjungan rombongan dari Perak, Pahang dan Terengganu yang mahu mendapatkan penerangan mengenai pendekatan pembangunan serta dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Dalam masa beberapa tahun ini, kita menjadi tempat rujukan. Kita menerima rombongan daripada Perak, Pahang dan Terengganu yang datang untuk bertanya bagaimana cara kita dan kita bekerjasama dengan mereka.
“Sebab kita nak letakkan Malaysia sebagai negara yang terulung dalam kita menguruskan negara dalam ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Regata Batang Kayan Lundu 2026 di Tebingan Lundu, hari ini.
Menurut Abang Johari, pendekatan pembangunan Sarawak turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila beliau baru-baru ini dijemput memberi penerangan mengenai dasar pembangunan negeri pada satu sesi di Manila bersama Asian Development Bank (ADB).
Katanya, dasar pembangunan Sarawak dilihat menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan keperluan memelihara alam sekitar.

“Dasar kita adalah dasar yang boleh menjadi contoh. Kita seimbang, pembangunan yang seimbang, dengan mengambil kira alam sekitar dan keperluan untuk mengekalkan alam sekitar yang bersih.
“Ekonomi kita meningkat, tetapi ekonomi kita adalah seimbang dengan kehendak alam sekitar kita,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu semakin penting ketika Sarawak memasuki era ekonomi baharu yang turut dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan pembangunan berasaskan pengetahuan.
Katanya, teknologi seperti AI perlu dimanfaatkan sebagai alat membantu manusia membuat keputusan, bukannya menggantikan pertimbangan manusia sepenuhnya.
“AI ini kita tahulah, kita masuk ChatGPT, kita masuk Gemini, semua maklumat keluar tetapi jangan 100 peratus ikutnya.
“Kita gunakan otak kita sendiri, orang putih kata ‘wisdom’. Maklumat dikumpulkan untuk mendapatkan penyelesaian, tetapi ia memerlukan juga otak manusia,” katanya.
Abang Johari berkata, persediaan menghadapi ekonomi baharu turut dilakukan melalui pembangunan modal insan, termasuk penyediaan pendidikan percuma kepada anak Sarawak di peringkat universiti.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan generasi baharu mempunyai asas pendidikan dan kemahiran untuk meneruskan pembangunan negeri dalam persekitaran ekonomi yang semakin berubah.
Beliau berkata kekuatan ekonomi juga membolehkan kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan berskala besar serta mengambil alih tanggungjawab tertentu demi kepentingan rakyat.
“Enam tahun saya dan rakan-rakan dalam Kabinet GPS dapat menaikkan pendapatan kita. Apabila kita kuat, kita dapat membangunkan diri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata pembangunan ekonomi Sarawak turut perlu dilaksanakan secara inklusif supaya manfaatnya dapat dirasai masyarakat di bandar dan luar bandar.
Katanya, kerajaan negeri terus merancang pembangunan infrastruktur termasuk jaringan jalan raya bagi menghubungkan kawasan pedalaman, selain memastikan keperluan masyarakat di seluruh Sarawak diberi perhatian.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam memastikan Sarawak terus mempunyai kekuatan untuk mengurus dan membangunkan ekonominya.
“Berkat apa kita bersatu, ekonomi kita kuat, hala tuju kita betul, maka kita dapat memperkuatkan diri kita.
“Orang Sarawak jagalah Sarawak ini baik-baik. Jangan kita berpecah, kita tingkatkan ekonomi dan seterusnya kita uruskan ekonomi kita dengan baik,” katanya.
Abang Johari berkata semangat itu boleh diibaratkan seperti perlumbaan perahu dalam Regata Batang Kayan, apabila setiap pendayung perlu berkayuh dalam arah yang sama bagi memastikan perahu terus bergerak dan tidak mudah dipukul ombak.
Regata Batang Kayan Lundu 2026 berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 September, dengan pelbagai pengisian termasuk perlumbaan perahu, pertandingan, pameran agensi, gerai jualan dan persembahan kebudayaan. Penganjuran tahun ini turut mengetengahkan elemen warisan dan budaya masyarakat Lundu.
Majlis penangguhan itu disempurnakan Abang Johari di Tebingan Lundu hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri; ADUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan; ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), Dato Ik Pahon Joyik; dan Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah.
Oleh Afiq Sallehi



