KUCHING: Program Dana Bantuan Anti-Pandemik Sarawak yang dilancarkan oleh Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian berjaya mengumpul hampir 10,000 penderma dan jumlah ketupan lebih RM380,000.
Pengerusi program tersebut merangkap Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Kuek Eng Mong dalam mesyuarat mingguan menerusi aplikasi Zoom semalam berkata, mereka akan dapat menjangkau lebih daripada sasaran dengan 10,000 penderma tidak lama lagi.
“Saya berharap anggota persatuan, organisasi atau individu yang telah bersetuju untuk memberikan sokongan wang mereka untuk kempen ini dapat menyerahkan senarai penderma mereka bersama-sama dengan sumbangan tersebut kepada persatuan atau jawatankuasa program ini dengan kadar yang segera.
“Setelah itu, dana tersebut akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak secepat mungkin,” ujarnya.
Tambahnya lagi, masyarakat boleh menyalurkan derma menerusi kod QR Sarawak Pay yang telah disediakan oleh persatuan mereka.
“Sejak program ini dilancarkan pada hujung bulan Jun yang lalu, ia mendapat sambutan yang amat luar biasa dari orang ramai dan hanya dalam masa enam minggu, jumlah derma yang ditetapkan melebihi daripada sasaran.
“Sehingga minggu lalu, jumlah penderma telah mencapai 9,227 dan menjangkakan bahawa sasaran 10,000 penderma dapat dicapai dalam beberapa hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Richard Wee berkata, kejayaan tersebut amat membanggakan kerana jawatankuasa berjaya mencapai sasaran 10,000 penderma hanya dalam satu bulan lebih awal daripada jangkaan dua bulan.
“Ini jelas menunjukkan kecekapan tinggi ahli jawatankuasa dalam melaksanakan tugas mereka dan semangat kerjasama antara anggota persatuan,” katanya.
Di samping itu, Kuek memberitahu persekutuan tersebut akan mengadakan sesi penyerahan dana pada 26 Julai ini di Tingkat 3, Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian yang akan melibatkan para pelajar, ibu bapa dan pengarah dari semua enam Sekolah Rendah Cina.
Oleh RYNNA SHA’ERRA