Pertandingan memasak erat perpaduan, warisan komuniti Kampung Rantau Panjang

Facebook
WhatsApp
PENYAMPAIAN sijil penghargaan disempurnakan Dato' Ahmad Ibrahim (kiri) kepada peserta Pertandingan Memasak 2026 di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa.

KUCHING: Pertandingan Memasak 2026 di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa bukan sekadar medan mencari juara, malah menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat serta memelihara resipi warisan komuniti.

Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata setiap resipi dan hidangan mempunyai cerita tersendiri yang mencerminkan budaya, tradisi serta identiti sesebuah keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja dapat mengetengahkan kreativiti dan bakat memasak, malah menjadi medium untuk berkongsi resipi warisan serta mewariskan nilai dan tradisi kepada generasi muda.

KEMERIAHAN Pertandingan Memasak 2026 di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa.

“Makanan menyatukan kita dan pertandingan seperti ini memberi peluang kepada penduduk untuk berkumpul, berkenal-kenalan, bertukar idea serta mengeratkan hubungan sesama jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan/Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Memasak 2026 di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kaum Kampung Rantau Panjang, KK Putit Omar, barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), jawatankuasa penganjur, peserta, petugas, penyumbang serta seluruh masyarakat kampung yang menjayakan program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan mengingatkan bahawa kemenangan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan sesebuah program kemasyarakatan.

RAKAMAN gambar kenangan sempena Pertandingan Memasak 2026 di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa.

Sebaliknya, beliau berkata penyertaan, semangat kerjasama dan kegembiraan yang dikongsi bersama merupakan nilai lebih penting dalam menjayakan program berkenaan.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 pada 31 Ogos, beliau turut menggesa masyarakat supaya terus menghargai keamanan, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati negara.

“Kekuatan perpaduan negara bermula daripada hubungan erat dalam keluarga, kampung dan komuniti setempat.

“Semangat perpaduan bermula daripada kampung dan komuniti seperti Kampung Rantau Panjang dan apabila masyarakat kita bersatu, saling membantu serta menjaga semangat kekeluargaan, komuniti kita akan menjadi lebih kuat,” jelasnya.

Beliau berharap lebih banyak program kemasyarakatan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyediakan ruang kepada penduduk pelbagai peringkat umur untuk berinteraksi serta memperkukuh semangat Segulai Sejalai.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Tan Kai, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Pegawai Daerah Bahagian Kuching, Zaidi Sharkawi.