KUCHING, 17 Oktober: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) perlu dipercepat bagi memastikan rakyat dapat melihat hasil pembangunan yang dirancang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahimberkata, jumlah projek yang banyak serta peruntukan yang besar memerlukan perhatian khusus bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa kekangan yang boleh melambatkan penyampaian manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, keperluan itu mendorong beliau mengusulkan penubuhan sebuah agensi khusus untuk melaksanakan dan memantau projek RTP ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 baru-baru ini.
Beliau berkata, agensi berkenaan diharap dapat memberi tumpuan khusus kepada pelaksanaan RTP agar perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan lebih pantas di peringkat akar umbi.
“Apabila diwujudkan agensi tersebut, ia dapat memberi fokus kepada RTP supaya hala tuju dan komitmen kita dapat diterjemahkan dengan cepat di peringkat pelaksanaan.
“Kita mahu rakyat dapat melihat hasil daripada projek yang dirancang untuk masyarakat kampung. Kita mahu pelaksanaannya berjalan lancar dan selaras dengan perancangan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program STEP CSR 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, pandangan mengenai keperluan memperkemas pelaksanaan RTP itu turut dikongsi beberapa wakil rakyat lain yang mahu projek pembangunan di kawasan masing-masing dilaksanakan dengan lebih lancar.
Dalam pada itu, beliau berkata, masalah banjir dan tekanan air rendah merupakan antara isu utama yang diberi perhatian di kawasan DUN Stakan.
Menurutnya, masalah bekalan air di kawasan berkenaan dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat menerusi sokongan Kerajaan Sarawak dan pelaksanaan projek bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
Bagi menangani masalah tekanan air, projek pembinaan dua tangki air aras tinggi di Taman Samarindah bernilai RM30.4 juta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Mei 2027.
Projek itu merangkumi pembinaan dua tangki berkapasiti 4.5 juta liter setiap satu serta pemasangan paip sepanjang 4.5 kilometer.
Sementara itu, usaha menangani masalah banjir di kawasan Stakan turut diberi perhatian menerusi Rancangan Tebatan Banjir Samarindah serta projek pembinaan dan naik taraf sistem perparitan di kawasan Stakan Cina dan Kampung Stakan Melayu.
Oleh Afiq Sallehi





