KUCHING, 17 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim melawat Bengkel Gamelan Kampung Jawa Semenggok Lama yang mengalami kerosakan akibat ribut pada 3 Oktober lalu bagi meninjau keadaan bengkel berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bagi membantu membiayai kerja-kerja membaik pulih bengkel yang digunakan oleh Persatuan Warisan Kesenian Kebudayaan Kampung Jawa Semenggok sebagai tempat latihan gamelan.


KEADAAN Bengkel Gamelan Kampung Jawa Semenggok Lama selepas kejadian angin kencang pada 3 Oktober lalu yang mengakibatkan kerosakan pada kemudahan berkenaan.
Hamzah melahirkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa bengkel berkenaan, memandangkan kemudahan itu menjadi ruang penting bagi ahli persatuan menjalankan latihan dan mengembangkan seni muzik tradisional masyarakat Kampung Jawa.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu persatuan melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan agar bengkel berkenaan dapat digunakan semula dalam keadaan selesa dan selamat.

Kemudahan latihan yang sesuai penting bagi memastikan aktiviti seni dan kebudayaan persatuan dapat diteruskan, selain memelihara warisan gamelan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Oleh Afiq Sallehi





