Ziarah Mahabbah Zon Tengah II dekati masyarakat menerusi pelbagai aktiviti

Facebook
WhatsApp
RERUAI i-CATS antara yang menyertai pameran sempena Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II di Kompleks Islam Sarawak, Sibu.

SIBU, 17 Oktober: Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan, kebajikan dan pembangunan insan untuk masyarakat Islam setempat selama dua hari bermula hari ini.

Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Haji Iskandar Allan berkata, program yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak di sini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan yang disediakan agensi di bawah MIS.

Beliau yang juga penyelaras bersama program berkenaan berkata, antara pengisian yang disediakan ialah pameran Edu Fair yang disertai 30 agensi kerajaan dan badan berkanun, Program Khas Wanita, Kursus Kemahiran Akademi Latihan Insan, aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sukaneka serta penyerahan bantuan.

Menurutnya, kemuncak program akan berlangsung esok menerusi sesi town hall pendidikan yang menampilkan tiga panel daripada Biro Perkhidmatan Pendidikan, Tabung Baitulmal Sarawak dan Yayasan Wakaf Sarawak.

ANTARA aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) di Kompleks Islam, hari ini.

“Sesi itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi berkenaan, khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan wakaf,” katanya.

Program itu turut dihadiri penduduk dari Bahagian Sibu serta wakil dari Bahagian Betong dan Sarikei.

Sehubungan itu, masyarakat Islam di Sibu dialu-alukan mengunjungi pameran yang berlangsung sepanjang dua hari berkenaan serta menyertai sesi town hall pendidikan esok bagi mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

Oleh Tarani Lanting