SEMOP, 17 Oktober: Pembangunan masyarakat luar bandar tidak seharusnya tertumpu kepada kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pendidikan awal kanak-kanak, peningkatan ekonomi keluarga dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk desa.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, ketiga-tiga aspek itu merupakan teras penting dalam memastikan masyarakat desa terus maju, sejahtera dan berdaya saing seiring dengan perkembangan semasa.
Katanya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat tersebut menerusi pelbagai program pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan di peringkat komuniti.
“Apabila kita menyebut tentang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), ia bukan sekadar sebuah agensi kerajaan, tetapi sebahagian daripada keluarga besar masyarakat desa.
“Sejak puluhan tahun lalu, Kemas sentiasa berada di tengah-tengah kampung dan desa kita. Ia menjadi nadi perpaduan, medan ilmu dan penggerak potensi komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gerakan Massa Masyarakat Desa Kemas di Dewan Masyarakat Kampung Semop, hari ini.
Tambahnya, penganjuran program itu turut menjadi platform untuk menggembleng tenaga masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak, belia, wanita dan golongan veteran, agar bersama-sama menyumbang kepada pembangunan kampung.
Mengulas mengenai pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak, Yusuf berkata, kewujudan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Kemas membantu memastikan kanak-kanak di luar bandar mendapat akses kepada pendidikan asas, pembentukan sahsiah dan pendedahan kepada teknologi sejak usia muda.
Katanya, usaha itu penting bagi melahirkan generasi pelapis yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk menerajui pembangunan kampung halaman pada masa hadapan.
Dalam aspek ekonomi, beliau berkata, latihan kemahiran yang ditawarkan Kemas, termasuk dalam bidang masakan, jahitan, kraf tangan dan perniagaan digital, berpotensi membuka peluang kepada penduduk untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
Menurutnya, golongan wanita dan belia khususnya boleh memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa kemajuan sesebuah kampung perlu disertai hubungan kemasyarakatan yang kukuh melalui amalan gotong-royong, semangat muafakat dan sikap prihatin terhadap jiran tetangga.
“Gerakan massa ini menjadi medan untuk kita menghidupkan semula tradisi bersatu padu, bergotong-royong dan prihatin terhadap jiran.
“Kemajuan fizikal tidak akan bermakna tanpa ukhuwah yang kukuh antara warga desa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat luar bandar supaya tidak memandang rendah kehidupan di desa kerana kawasan itu mempunyai nilai, tradisi dan potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
“Desa bukan sekadar tempat tinggal, tetapi tempat lahirnya nilai, tradisi dan potensi negara yang besar.
“Jangan kita berasa rendah diri kerana tinggal di desa, kerana daripada desalah lahirnya ramai insan hebat yang menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Yusuf menyeru penduduk supaya terus menyokong dan menyertai program anjuran Kemas serta memanfaatkan kemudahan dan peluang pembelajaran yang disediakan.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh penduduk desa supaya terus memberikan sokongan padu dan menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh Kemas.
“Manfaatkanlah ilmu, kemudahan dan ruang yang disediakan untuk kebaikan bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kerjasama serta penguasaan ilmu merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat desa yang makmur dan mempunyai wawasan pembangunan jangka panjang.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,” katanya.
Jelasnya, kesepakatan masyarakat yang disertai usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran dapat membantu memastikan pembangunan desa dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan penduduk.
Oleh Earl Anek





