SHAH ALAM: Hanya sempat menjalani satu sesi latihan seirama sebelum pertandingan, gandingan penerjun Sarawak Awang Sharzan Nasrin dan Elvis Priestly Clement tetap mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 3 Meter (3m) Papan Anjal Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Lebih mengejutkan, gandingan itu tidak pernah melakukan latihan seirama bersama sebelum tiba di Selangor, malah terpaksa digandingkan pada saat akhir selepas pasangan asal Elvis, Jared Aiden Harold, mengalami kecederaan.
Elvis berkata mereka hanya menjalani satu sesi latihan bersama pada Selasa sebelum terus turun beraksi dalam saingan hari ini.
“Kami baharu sekali seirama untuk Sukma tahun ini. Kami memang tidak pernah seirama langsung sebelum ini dan apabila sampai di sini, kami mula berlatih bersama.
“Memang rasa macam rezeki kami kerana peluang itu datang tepat pada masanya. Kami bersyukur dengan apa yang berlaku,” katanya selepas pertandingan.
Menurutnya, situasi berkenaan turut menyebabkan mereka tidak sempat melakukan persiapan mencukupi, namun keserasian yang pernah dibina ketika kecil sedikit sebanyak membantu mereka menyesuaikan diri.
Menurut Awang Sharzan, mereka pernah bergandingan ketika berusia kira-kira 10 tahun, sebelum masing-masing menyertai skuad kebangsaan dan membawa haluan berbeza.
“Dulu kami pernah seirama masa masih kecil, umur lebih kurang 10 tahun. Selepas itu dia (Elvis) masuk skuad kebangsaan dan kami terpisah.
“Selepas itu kami bertukar-tukar pasangan dan tidak dapat kekal dengan pasangan yang sama. Kali ini pun sebenarnya saya tidak pernah seirama dengannya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Awang mengakui terjunan terakhir menjadi penentu kejayaan mereka selepas pasangan berkenaan berada di kedudukan kedua sehingga pusingan kelima.
Katanya, fokus sepenuhnya pada terjunan terakhir membantu mereka menghasilkan persembahan terbaik untuk merampas emas.
“Untuk terjunan terakhir, kami memang fokus habis. Kami tidak fikir perkara lain dan hanya fokus kepada terjunan itu.
“Tapi kami juga bernasib baik kerana salah seorang penerjun Wilayah Persekutuan mengalami sedikit kecederaan,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Elvis meraih emas keduanya pada temasya kali ini dan pingat ketiganya, dengan tiga lagi acara masih menanti untuk disertai.
Lebih manis, emas tersebut hadir selepas Elvis turut meraih emas sehari sebelumnya bersama Jared Aiden.
Bagi gandingan berkenaan, kejayaan tanpa persiapan panjang itu menjadi bukti bahawa pengalaman, fokus dan ketenangan mampu memainkan peranan besar apabila peluang untuk bergandingan hadir pada saat-saat akhir.
Gandingan Sharzan dan Elvis Priestly muncul juara acara 3 Meter (3m) Papan Anjal Seirama Lelaki selepas mengumpul 333.90 mata, mengatasi pasangan Wilayah Persekutuan, Yong Rui Jie dan Nurqayyum Naz, yang meraih perak dengan 331.11 mata, manakala gangsa menjadi milik gandingan Selangor, Ikmal Abror dan Haris dengan 307.89 mata.
Oleh Shahrul Qaizat





