JBALB ganti paip bocor, bekalan air Kampung Muhibbah dan STC terjejas

Facebook
WhatsApp
JBALB memulakan kerja awalan bagi menggantikan paip lintasan di bawah jalan raya berhampiran lampu isyarat Kampung Muhibbah. Foto JBALB Sri Aman

SIMANGGANG, 21 Oktober: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman memulakan kerja-kerja awal penggantian paip lintasan di bawah jalan raya berhampiran lampu isyarat Kampung Muhibbah susulan kebocoran yang menjejaskan bekalan air terawat ke sebahagian kawasan Kampung Muhibbah dan Kampung STC.

Menurut kenyataan media JBALB Bahagian Sri Aman, kerja penggantian paip itu dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik bagi mengatasi masalah kebocoran berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan tapak yang kompleks menyebabkan kerja penggantian paip memerlukan masa tambahan untuk disiapkan.

Sehubungan itu, JBALB Bahagian Sri Aman memaklumkan bahawa pihaknya akan berusaha mempercepatkan kerja penyambungan paip baharu bagi membolehkan bekalan air dipulihkan seperti biasa.

Sepanjang tempoh gangguan, penghantaran bekalan air akan diteruskan ke kawasan terjejas bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk.

JBALB Bahagian Sri Aman turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang kerja pembaikan dijalankan.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak menerusi talian 082-262211.

Kerja penggantian paip itu diharap dapat mengatasi masalah kebocoran berkenaan sekali gus membantu memulihkan bekalan air terawat kepada pengguna di Kampung Muhibbah dan Kampung STC.

Oleh Adi Safarman