PETRA JAYA, 21 Oktober: Aset di bawah pengurusan Dana Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) dijangka mencecah RM9.05 bilion menjelang akhir tahun ini, mencerminkan usaha Sarawak memperkukuh simpanan jangka panjang untuk manfaat generasi akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan RM300 juta bagi tahun ini akan menjadikan jumlah peruntukan terkumpul kepada RM8.6 bilion sejak dana itu ditubuhkan pada 2024.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, SSWFF merupakan dana simpanan jangka panjang antara generasi yang diwujudkan untuk mempelbagaikan sumber pelaburan Sarawak serta menukarkan sebahagian hasil semasa kepada kekayaan berkekalan untuk generasi akan datang.
Katanya, prestasi dana itu perlu dinilai dalam tempoh beberapa dekad dan bukannya berdasarkan pencapaian suku tahunan, selaras dengan matlamatnya sebagai instrumen simpanan jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika membacakan penggulungan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Dalam fasa awal pembinaan portfolio pelaburan, dana itu mengutamakan pemeliharaan modal sebelum memperluas pelaburan secara berperingkat ke dalam kelas aset yang diluluskan lembaga pengarah.
Pendekatan itu selaras dengan mandat dana berkenaan untuk memelihara modal dalam jangka pendek, di samping mencapai pertumbuhan sebenar aset pelaburan yang seimbang dengan risiko dalam jangka panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, SSWFF telah diterima sebagai ahli bersekutu Forum Antarabangsa Dana Kekayaan Berdaulat (IFSWF) dan sedang menuju ke arah keahlian penuh.
Uggah berkata, amalan pengurusan dana itu diselaraskan dengan Prinsip Santiago, iaitu rangka kerja antarabangsa yang menggalakkan tadbir urus baik, ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan pelaburan berhemat bagi dana kekayaan berdaulat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengurusan yang kukuh dan kepelbagaian pelaburan penting bagi memastikan kekayaan Sarawak terus dipelihara serta dikembangkan demi manfaat generasi akan datang.
Oleh Afiq Sallehi



