Musiala dedah alami ‘gangguan neurologi’ selepas rebah di padang

Facebook
WhatsApp
PEMAIN tengah Jerman Bayern Munich, Jamal Musiala (No. 10) menerima rawatan perubatan ketika perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA antara FC Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG) di Munich, selatan Jerman pada 6 Mei 2026. Foto AFP

BERLIN, Jerman: Pemain tengah Bayern Munich, Jamal Musiala berkata beliau mengalami selepas rebah buat kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 23 tahun itu rebah di padang hanya beberapa minit selepas diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan persahabatan pramusim menentang Heidenheim.

Kejadian sama berlaku pada Sabtu ketika Bayern mencatat kemenangan di tempat sendiri ke atas RB Leipzig.

Dalam aksi di Heidenheim pada Selasa, Musiala kelihatan terpinga-pinga ketika menerima rawatan sebelum dibantu keluar dari padang.

Musiala kemudian mendedahkan menerusi media sosial bahawa beliau mengalami gangguan yang boleh menyebabkan “sawan sementara tetapi boleh dirawat”.

“Saya telah didiagnosis mengalami episod singkat dan sementara berupa ketiadaan kesedaran yang mudah dirawat serta berpunca daripada disfungsi neurologi,” kata Musiala.

PEMAIN tengah Jerman Bayern Munich, Jamal Musiala (No. 10) mengawal bola ketika perlawanan bola sepak Bundesliga Jerman antara VfL Wolfsburg dan FC Bayern Munich di Wolfsburg pada 9 Mei 2026. Pemain tengah Bayern Munich, Jamal Musiala dikeluarkan dari padang selepas rebah ketika perlawanan persahabatan pramusim pada 18 Ogos 2026, tiga hari selepas kejadian sama berlaku di Munich. Foto AFP

“Keadaan ini boleh menyebabkan kejadian yang berlaku baru-baru ini, seperti ketika menentang Leipzig dan kini di Heidenheim.

“Saya tahu keadaan ini mungkin kelihatan menakutkan pada pandangan pertama, tetapi bagi saya, ia kini sekadar sebahagian daripada kehidupan seharian.”

Musiala turut berkata beliau “amat berterima kasih atas semua mesej dan sokongan yang diberikan.”

“Saya menerima rawatan perubatan terbaik yang mungkin dalam hal ini dan amat optimistik.”

Selepas perlawanan, pengarah sukan Bayern, Max Eberl berkata Musiala akan memberikan penjelasan mengenai keadaan itu dalam masa terdekat.

“Jamal akan bercakap mengenai perkara ini dalam masa terdekat. Kami mengetahuinya dan menyedari keadaan berkenaan,” kata Eberl.

“Jamal akan memberikan penjelasan.”

Pada Sabtu, Musiala rebah di padang ketika menentang Leipzig dan memerlukan rawatan dalam keadaan cuaca panas di ibu negeri Bavaria itu, dengan suhu melebihi 30 darjah Celsius.

Musiala terlepas enam bulan pertama musim lalu akibat patah buku lali yang dialami ketika Piala Dunia Kelab, namun kembali beraksi pada separuh kedua musim dan mewakili Jerman pada Piala Dunia 2026. – AFP