Genevie Lim bangkit selepas digugurkan, kini buru impian Olimpik

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Datuk Wan Khalik Wan Muhammad bersama Genevie Lim bercakap kepada media di bilik media, DUN, hari ini.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Digugurkan daripada skuad kebangsaan atas faktor kesihatan lebih sembilan bulan lalu tidak mematahkan semangat pemain badminton muda Sarawak, Genevie Lim, yang kini membuktikan kemampuan apabila muncul juara beregu perempuan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 di Kaherah, Mesir.

Kejayaan itu hadir selepas Genevie, 18, dibantu Persatuan Badminton Sarawak (SBA) untuk membina semula kerjaya menerusi latihan dan peluang menyertai kejohanan selepas kehilangan tempat dalam skuad Persatuan Badminton (BAM).

Setiausaha SBA, Datuk Wan Khalik Wan Muhammad berkata, kebangkitan Genevie membuktikan bahawa sokongan berterusan dan kesungguhan mampu membantu atlet kembali bersaing selepas melalui tempoh sukar.

Menurutnya, prestasi Genevie dalam kejohanan kebangsaan bawah 18 dan bawah 21 tahun mendorong SBA, atas cadangan presidennya, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, mengesyorkan kepada BAM supaya pemain itu diberi peluang kembali menyertai skuad kebangsaan.

Usaha berkenaan membuahkan hasil apabila Genevie kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan sebelum bergandingan dengan Low Zi Yu untuk menewaskan pasangan Jepun, Nijika Kamata dan Shizuku Kashio, 15-7, 9-15, 15-12 dalam perlawanan akhir.

Kemenangan itu menjadikan mereka pasangan Malaysia pertama memenangi gelaran beregu perempuan pada kejohanan berkenaan sejak diperkenalkan pada 1992. Genevie sebelum itu turut meraih pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Asia di Jepun.

Wan Khalik berkata demikian ketika mengiringi Genevie mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada Genevie untuk terus meningkatkan prestasi apabila melangkah ke peringkat senior, sekali gus membuka peluang memburu tempat dalam skuad Olimpik negara pada masa depan.

“Kami berharap Genevie akan menjadi antara anak Sarawak, seperti ratu terjun Datuk Pandelela Rinong Pamg, yang berupaya menjadi seorang atlet Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Genevie menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai detik membanggakan dan berkata tumpuannya kini adalah untuk bersaing di peringkat senior selepas menamatkan persekolahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata kerajaan negeri bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) akan terus memperkukuh laluan pembangunan atlet, daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Usaha itu merangkumi kem latihan, sokongan kejurulatihan, pemantauan prestasi serta akses kepada perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan mengikut keperluan atlet.

Oleh Shikin Mahmud

Mei Xing umum bersara

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Pemain beregu wanita kebangsaan Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif, selepas lebih sedekad