PETRA JAYA, 21 Oktober: Di sebalik kesibukannya sebagai wakil rakyat, Johnical Rayong Ngipa tetap mengekalkan jati dirinya sebagai anak kampung yang gemar memancing ikan toman di sungai, menikmati hidangan tradisional kasam masyarakat Iban serta meluangkan masa bersantai di tepi jalan berbanding duduk di dalam bilik berhawa dingin.
Namun, apabila ditanya mengenai kemungkinan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkelili pada pilihan raya akan datang, ADUN itu mengakui beliau sendiri belum mengetahui nasibnya sebagai calon.
Johnical berkata, keputusan mengenai calon pilihan raya terletak di bawah prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Apa-apa keputusan daripada Yang Amat Berhormat Premier, beliau mempunyai prerogatif menentukan siapa calon. Walaupun kita mahu, ramai orang mahu juga, akhirnya beliau yang memutuskan.
“Namun, saya berharap dapat dicalonkan semula pada pilihan raya yang akan datang dan masih ingin berbakti kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak Petra Jaya, hari ini.
Tambah beliau, keutamaannya adalah memastikan kepentingan rakyat terus dibela, selain menyokong kepimpinan Premier Sarawak dalam mengekalkan kestabilan politik dan merealisasikan agenda pembangunan negeri menjelang 2030.
Beliau turut berharap Engkelili terus maju, makmur dan aman, manakala rakyatnya menikmati manfaat pembangunan di bawah pentadbiran GPS.
Mengimbas perjalanan politiknya, Johnical menyifatkan pengalaman sepanjang berada dalam arena politik sebagai penuh warna-warni kerana pernah melalui fasa pembangkang, bebas dan kerajaan.
Katanya, jika diminta menyenaraikan kesukaran sebagai wakil rakyat, beliau mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan, khususnya dalam menangani pelbagai masalah penduduk.
Antara cabaran terbesar, katanya, ialah memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat mendapat perhatian, termasuk panggilan kecemasan seawal 6.00 pagi berkaitan kematian, persekolahan anak dan kejadian banjir.
“Kadangkala saya bawa telefon masuk ke bilik air kerana takut ada panggilan kecemasan dari kampung.
“Orang kampung kalau kita tidak jawab telefon, mereka sensitif. Kita juga perlu menjaga hati orang,” katanya.
Di luar urusan politik, Johnical berkata beliau gemar memancing di sungai untuk mendapatkan ikan toman dan keli, dengan ikan toman seberat kira-kira tiga hingga lima kilogram antara tangkapan terbesar yang pernah diperolehnya.
Beliau turut menyifatkan kasam sebagai antara makanan kegemarannya, manakala minat terhadap sektor pertanian mendorongnya untuk terus menanam kelapa sawit dan getah.
Mengulas perancangan selepas tamat pengajian doktor falsafah (PhD), Johnical berkata beliau turut berminat menyumbangkan khidmat dalam bidang akademik pada masa hadapan.
Bagaimanapun, buat masa ini, persoalan sama ada beliau akan terus diberi mandat untuk mewakili Engkelili pada pilihan raya akan datang masih belum terjawab.
Oleh Afiq Sallehi




