PETRA JAYA, 21 Oktober: Sebanyak 157 unit rumah mampu milik yang sedang dibina oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bakal dilengkapi sistem tenaga solar dengan kos pemasangan berjumlah RM4.553 juta.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak akan menanggung 50 peratus daripada kos pemasangan sistem berkenaan.
“Unit rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 402 rumah mampu milik yang sedang giat dibina dan dijangka siap pada suku kedua 2027.
“Sebanyak 157 unit rumah daripada 402 unit rumah tersebut akan dilengkapi dengan sistem tenaga solar dengan kos pemasangan berjumlah RM4.553 juta dan kerajaan Sarawak akan menanggung 50 peratus daripada kos pemasangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), LCDA menyasarkan pembinaan 1,410 unit rumah mampu milik dengan anggaran kos pembinaan RM524.9 juta.
Katanya, Belanjawan 2027 telah meluluskan peruntukan RM213.35 juta bagi melaksanakan projek-projek berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, berkata, kerajaan melalui LCDA membelanjakan antara RM350,000 hingga RM435,000 bagi menyediakan setiap unit rumah di bawah Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK), namun harga jualan kepada pembeli hanya RM150,000 seunit.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperluas peluang pemilikan kediaman, malah bertujuan meningkatkan nilai harta pemilik lot dan taraf hidup rakyat.
Oleh Adele Rissa




