DEBAK: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak berjaya memusnahkan sarang penyengat lalat yang bersarang pada sebatang pokok tumbang di tepi jalan utama berhampiran sebuah rumah di LDS Samu, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.13 pagi bagi mendapatkan bantuan berhubung kewujudan sarang serangga berkenaan.
Menurutnya, sepasukan empat anggota APM segera digerakkan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak pada 10.17 pagi menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda.
“Pasukan tiba di lokasi pada 10.37 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh sekitar 21 kilometer untuk menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sarang penyengat lalat berkenaan berada pada pokok yang tumbang di tepi jalan utama berhampiran rumah pengadu.
Katanya, anggota APM kemudian mengambil langkah keselamatan dengan menyediakan peralatan bersesuaian sebelum menjalankan operasi memusnahkan sarang tersebut.
“Sarang berkenaan dianggarkan bersaiz sebesar botol mineral dan berjaya dimusnahkan menggunakan teknik pembakaran bagi memastikan ancaman kepada penduduk sekitar dapat dielakkan,” katanya.
Operasi yang bermula sebaik pasukan tiba di lokasi itu selesai pada 10.52 pagi.
Empat anggota yang terlibat ialah Prebet Andrian Sumok, Prebet Mohd Adzizan Mohidden, Prebet Hasmawati Saji dan Prebet Mohd Aldiey Abdullah.
Operasi turut dilengkapi kelengkapan keselamatan termasuk helmet, sarung tangan serta baju lebah.
Oleh Adi Safarman





