SARATOK: Keprihatinan terhadap keperluan kemudahan kesihatan setempat mendorong Dinasti Tandin Sdn Bhd Kuching tampil menghulurkan sumbangan kepada Hospital Saratok, semalam.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Komuniti Cina Daerah Saratok, Pemanca Lim Guan Ann yang mewakili pihak syarikat berkenaan, membabitkan 30 bantal, tiga bekas simpanan tabung darah dan 50 kerusi untuk kegunaan Hospital Saratok.
Sumbangan itu diserahkan kepada wakil Hospital Saratok sebagai tanda sokongan pihak swasta dan masyarakat setempat dalam membantu meningkatkan keselesaan serta keperluan harian warga hospital.
Menurut Lim Guan Ann, keperluan berkenaan mula mendapat perhatian selepas beliau mengadakan kunjungan ke Hospital Saratok beberapa minggu lalu dan mendengar sendiri perkara yang disuarakan pihak hospital.
Beliau kemudian mengambil inisiatif menghubungi rakan-rakan serta pihak yang prihatin untuk bersama-sama membantu memenuhi keperluan hospital, khususnya peralatan yang telah lama dan mengalami kerosakan.
Syarikat terbabit yang sememangnya aktif dalam kerja-kerja amal dan membantu masyarakat turut bersetuju menyokong usaha berkenaan dengan menyediakan keperluan yang diperlukan pihak Hospital Saratok.
Sumbangan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada warga kerja hospital, selain meningkatkan keselesaan pesakit dan orang awam yang mendapatkan rawatan di Hospital Saratok.
Lim Guan Ann turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Dinasti Tandin Sdn Bhd atas kesudian menyumbang serta menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan Hospital Saratok.
Beliau berharap kerjasama dan semangat membantu antara sektor swasta, pemimpin masyarakat serta institusi kesihatan dapat terus diperkukuhkan demi manfaat komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman





