Pokok tumbang tutup jalan LDS Samu, APM bertindak pantas

Facebook
WhatsApp
SEBATANG pokok tumbang sehingga menutup sepenuhnya laluan di Jalan LDS Samu, di sini, semalam, menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan. Foto: APM Betong

SPAOH: Sebatang pokok tumbang sehingga menutup sepenuhnya laluan di Jalan LDS Samu, di sini, semalam, menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.35 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh kemudiannya menggerakkan Skuad Aspa 02 ke lokasi pada 9.40 pagi bagi menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok.

HALANG LALUAN… Pokok tumbang menutup sepenuhnya Jalan LDS Samu, Spaoh sebelum dialihkan anggota APM dalam operasi pembersihan, semalam.

“Pasukan tiba di lokasi pada 10.20 pagi dan mendapati pokok tumbang berkenaan menutupi keseluruhan jalan sehingga tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya dalam kenyataan mengenai operasi berkenaan.

Beliau berkata, seramai empat anggota APM terlibat dalam operasi berkenaan yang dilaksanakan bagi memastikan laluan dapat dibuka semula dengan segera.

Operasi turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda, gergaji berantai, kelengkapan keselamatan serta kotak peralatan bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan.

SELESAI DIALIH… Anggota APM Daerah Spaoh memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menutup sepenuhnya Jalan LDS Samu, Spaoh, semalam.

“Pasukan berjaya memotong dan mengalihkan pokok tumbang tersebut, sekali gus membuka semula laluan untuk kegunaan semua kenderaan,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan selesai pada 12.05 tengah hari dan jarak perjalanan sehala ke lokasi kejadian adalah sekitar 38 kilometer.

Tindakan pantas APM itu membolehkan laluan berkenaan kembali selamat digunakan, sekali gus mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Oleh Adi Safarman