PETRA JAYA: Kekayaan hutan hujan tropika Borneo serta sumber air yang dimiliki Sarawak akan menjadi asas kepada penyelidikan dan inovasi negeri ini dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran perubahan iklim serta membangunkan tenaga bersih masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan Sarawak sebagai sebahagian daripada Pulau Borneo yang memiliki antara hutan hujan tertua di dunia memberi kelebihan besar untuk diterokai menerusi pendekatan berasaskan sains dan teknologi.

Menurut beliau, hutan bukan sekadar sumber semula jadi, tetapi memainkan peranan penting dalam keseimbangan alam melalui penghasilan oksigen, penyerapan karbon serta pemeliharaan biodiversiti yang memberi manfaat kepada kelangsungan hidup manusia.
“Di Borneo, kita mempunyai hutan hujan tertua yang diperlukan dalam formula keseimbangan bagi mengekalkan kehidupan manusia. Hutan menghasilkan oksigen, manakala kita juga mempunyai sungai dan sumber air yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) di sini hari ini.
Abang Johari berkata, dunia kini berdepan cabaran besar akibat perubahan iklim, termasuk peningkatan suhu, bencana banjir serta ancaman terhadap keselamatan makanan.
Katanya, keadaan itu memerlukan penyelesaian baharu menerusi kajian saintifik dan penggunaan teknologi bagi memastikan pembangunan manusia tidak mengorbankan keseimbangan alam sekitar.
Dalam konteks itu, beliau berkata Sarawak melihat sumber air yang dimiliki negeri ini sebagai satu potensi besar dalam meneroka pembangunan tenaga bersih menerusi teknologi hidrogen.
Menurut beliau, air yang mengandungi hidrogen dan oksigen boleh menjadi asas kepada penghasilan hidrogen sebagai salah satu alternatif tenaga bersih bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

“Kita perlu mencari alternatif kepada tenaga fosil. Sebab itu Sarawak melihat kepada hidrogen. Kita mempunyai air dan melalui teknologi seperti elektrolisis, hidrogen boleh dihasilkan sebagai tenaga bersih,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi berkenaan memerlukan penyelidikan mendalam serta generasi muda yang mempunyai pengetahuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)
Katanya, Pusat Sains Sarawak diwujudkan sebagai platform untuk mendedahkan generasi muda kepada teknologi masa depan, termasuk tenaga hidrogen, kecerdasan buatan (AI), biodiversiti dan teknologi angkasa.
Menurut beliau, pusat itu juga memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi melalui kemudahan pembelajaran serta asrama yang disediakan.
Beliau mengambil contoh murid dari Sekolah Kebangsaan Batu Bungan di Mulu yang sebelum ini mempunyai akses terhad kepada kemudahan teknologi, namun kini berpeluang meneroka bidang seperti dron dan teknologi moden menerusi pusat berkenaan.
“30 tahun dahulu saya pergi ke Batu Bungan, tiada sekolah. Tetapi hari ini mereka boleh datang ke Pusat Sains Sarawak di tengah Kuching dan melihat sendiri teknologi yang dipamerkan,” katanya.
Abang Johari berkata, pendedahan awal kepada teknologi mampu mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan anak muda untuk meneroka bidang baharu serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, Pusat Sains Sarawak bukan hanya untuk Sarawak atau Malaysia, tetapi menjadi platform kerjasama dengan dunia dalam usaha mencari penyelesaian terhadap cabaran masa depan.
“Ini adalah makmal masa depan Sarawak, Malaysia dan dunia dari Borneo. Kita mempunyai sumber, kita mempunyai teknologi dan kita perlu menggunakan ilmu untuk memberi manfaat kepada manusia,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





