PRN: Tasik Biru saksikan saingan satu lawan satu

Facebook
WhatsApp
CALON GPS, Datuk Henry Harry Jinep (kanan) dan calon PBDS, Jani Unggu (kiri), yang bakal berentap dalam saingan satu lawan satu bagi kerusi DUN N.02 Tasik Biru pada PRN Sarawak ke-13. Foto Adele Rissa

BAU, 28 Nov: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tasik Biru menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Henry Harry Jinep yang mewakili GPS menerusi Parti Demokratik Progresif (PDP), bakal dicabar calon PBDS, Jani Unggu.

Henry, yang menyandang kerusi berkenaan sejak 2016, sekali lagi diberi kepercayaan oleh GPS untuk mempertahankan mandatnya di kawasan itu.

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, Henry berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,212 undi menerusi pertandingan empat penjuru, selepas turut memenanginya pada PRN 2016 dengan majoriti 1,288 undi ketika mewakili Barisan Nasional (BN) menerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Persaingan yang pada awalnya menyaksikan penyertaan tiga calon berubah kepada pertandingan satu lawan satu selepas calon Bebas, Paul Shannon, menarik diri pada saat akhir.

Dengan perkembangan itu, pertandingan di Tasik Biru kini tertumpu kepada dua calon yang bakal bersaing mendapatkan sokongan pengundi pada hari pengundian.

Oleh Adele Rissa