Fatimah Abdullah kekal wakili Dalat selepas menang tanpa bertanding

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika diumumkan menang tanpa bertanding, hari ini. Foto Adibfahmy

DALAT, 28 Nov: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), berjaya mengekalkan kerusi berkenaan selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Kemenangan itu disahkan selepas proses penamaan calon berakhir tanpa sebarang pencalonan lain dikemukakan bagi mencabar beliau di kerusi berkenaan.

Keputusan tersebut menyaksikan Fatimah meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Dalat bagi penggal seterusnya tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Disember ini.

DATO Sri Fatimah Abdullah bergambar kenangan bersama penyokong yang tiba menyokong beliau, hari ini. Foto Adibfahmy

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, Fatimah berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 7,085 undi dan majoriti 6,625 undi.

Kemenangan tanpa bertanding kali ini sekali gus membolehkan beliau meneruskan mandat untuk mewakili masyarakat Dalat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Sementara itu, proses penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13 berlangsung serentak di seluruh negeri hari ini bagi menentukan calon-calon yang layak bertanding di setiap kawasan.

Hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.

Oleh Adibfahmy