Mesra GPS tidak bermakna sepakat dengan gabungan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon DUN N.26 Gedong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

GEDONG, 28 Nov: Calon Bebas yang menyatakan pendirian mesra Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi bertanding di luar gabungan itu tidak boleh dianggap sepakat dengan GPS, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, setiap organisasi politik perlu mempunyai disiplin tersendiri, termasuk mematuhi arahan dan pendirian parti bagi memastikan kesepakatan dalam gabungan.

“Dalam sebuah organisasi, mesti ada disiplin. Dan disiplin itu kita ikut arahan parti. Jadi maknanya kalau mereka mesra GPS, terima kasih lah. Tetapi sudah tentu kalau dia bertanding luar daripada GPS, itu tandanya tidak sepakat dengan GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon DUN N.26 Gedong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, hari ini.

Pada penamaan calon itu, Abang Johari diumum menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Gedong selepas calon Bebas, Sahari Pet, 75, menarik diri pada saat akhir, sekali gus menyaksikan beliau berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

Ketika ditanya sama ada calon Bebas yang bertanding di luar GPS boleh dianggap sebagai pembangkang, Abang Johari menyerahkan perkara itu kepada orang ramai untuk membuat tafsiran.

“Terpulang kepada tuan-tuan untuk mentafsir,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai kedudukan peruntukan pembangunan sekiranya calon Bebas memenangi kerusi yang ditandingi, namun jawapannya lebih tertumpu kepada aspek disiplin organisasi dan pendirian politik dalam GPS.

Oleh Afiq Sallehi