KOTA SAMARAHAN, 28 Nov: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Kemenangan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Abdul Razak, pada 10.15 pagi selepas tempoh penamaan calon berakhir tepat 10.00 pagi tanpa sebarang calon lain mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi berkenaan.
Mengulas kemenangannya, Dr Dayang Nurfizawati merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti serta penduduk Muara Tuang atas sokongan yang diberikan, khususnya Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dan bekas penyandang kerusi berkenaan, Dato Idris Buang, yang turut hadir memberikan sokongan kepadanya.
“Kemenangan ini merupakan satu amanah yang akan saya laksanakan sebaik mungkin demi masyarakat di kawasan Muara Tuang.
“Saya berharap dapat bekerja dengan ikhlas, menjalankan amanah ini sebaik-baiknya serta menjadi sebahagian daripada keluarga besar Muara Tuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman kemenangan tanpa bertanding di pusat penamaan calon DUN N.16 Muara Tuang, Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Dr Dayang turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan jentera parti, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta seluruh penduduk bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk Muara Tuang dan berharap masyarakat dapat menerima saya sebagai wakil rakyat mereka,” ujarnya.
Dr Dayang Nurfizawati mengemukakan borang pencalonannya pada jam 9.01 pagi dengan dicadangkan oleh Awang Edi Awang Chi, manakala Erine Anak Gadul bertindak sebagai penyokong.
Beliau bertanding mewakili GPS menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Beliau tiba di pusat penamaan calon pada 8.50 pagi dengan diiringi Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, bersama kira-kira 1,500 penyokong.
Untuk rekod, beliau merupakan Bendahari Majlis Tertinggi Wanita PBB dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak selama lebih sembilan tahun.
Beliau turut menganggotai Majlis Tertinggi Wanita PBB sejak 2013.
Dari segi akademik, beliau memiliki Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar dari Universiti Malaya (UM), serta ijazah sarjana muda dari Perth, Australia Barat.
Pada PRN Sarawak 2021, kerusi DUN N.16 Muara Tuang dimenangi oleh penyandang ketika itu, Dato Idris Buang daripada GPS, dengan memperoleh 8,435 undi dan majoriti 6,237 undi.
Oleh Masrin Affirah





