SIMANGGANG, 28 Nov: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang menyaksikan persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila tiga calon disahkan bertanding bagi merebut mandat pengundi di kawasan itu.
Pertembungan kali ini melibatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Leonard Libau Anol, calon Bebas, Wilson Entebang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Peli Aaron.
Leonard tiba lebih awal di perkarangan Tebingan Sri Aman sekitar jam 8 pagi sebelum berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon di Bangunan Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman dengan diiringi lebih 1,500 penyokong.
Turut hadir memberikan sokongan kepada calon baharu GPS itu ialah penyandang kerusi DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.
Pencalonan Leonard dicadangkan oleh Michael Pillow Lachen, manakala Ngu Sze Lee bertindak sebagai penyokong.
Sementara itu, Wilson tiba di pusat penamaan calon sekitar 8.45 pagi.
Pencalonannya dicadangkan oleh Jimmy Langi, manakala Davis @ David Alon bertindak sebagai penyokong.
Bagi Peli pula, pencalonannya dicadangkan oleh Nensa Nuab, manakala Samuel Jana bertindak sebagai penyokong.
Ketiga-tiga calon itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.32 Simanggang, Mohd Rizal Zakaria, kira-kira 10.25 pagi.
Persaingan tiga penjuru itu sekali gus membuka lembaran baharu politik Simanggang apabila Leonard tampil sebagai calon baharu GPS bagi meneruskan perjuangan parti itu di kawasan berkenaan.
Pada PRN Sarawak 2021, kerusi DUN Simanggang disandang oleh Datuk Francis Harden Hollis yang mula dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu pada 1996 ketika mewakili Barisan Nasional (BN).
Beliau kemudiannya mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2021 sebagai calon GPS dan telah berkhidmat selama enam penggal sebagai wakil rakyat.
Kini, perhatian pengundi Simanggang tertumpu kepada persaingan ketiga-tiga calon yang bakal menentukan siapa mendapat kepercayaan rakyat untuk mewakili kawasan itu bagi penggal seterusnya.
Oleh Adi Safarman




