
KUCHING: Tawaran gaji permulaan yang disifatkan masih tidak setimpal dengan kelayakan akademik menjadi antara kebimbangan utama generasi muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan di Sarawak.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati realiti generasi muda hari ini ialah tawaran gaji permulaan sekitar RM1,700 walaupun memiliki diploma atau ijazah, bukan lagi sesuatu yang asing dan kelayakan akademik yang dimiliki belum tentu menjanjikan pekerjaan dan gaji yang setimpal.

Bagi Nelson Nyelang Saing, 25, berbangsa Iban, selain kelayakan akademik, pendapatan yang setimpal turut penting bagi menjamin kestabilan kewangan dan memenuhi keperluan hidup.
“Secara umumnya peluang pekerjaan di Sarawak semakin berkembang sejajar dengan pembangunan ekonomi negeri, namun masih terdapat graduan yang memerlukan jangka masa panjang untuk mendapatkan pekerjaan yang benar-benar sepadan dengan bidang pengajian dan kelayakan akademik mereka.
“Keadaan ini berlaku kerana kadar gaji dan peluang kerjaya tidak seimbang, selain kos sara hidup yang tinggi memaksa graduan memilih kerjaya di luar bidang mereka yang menawarkan gaji lebih setimpal, namun memberi kesan kepada kualiti kerja kerana berada di luar bidang kepakaran.
“Memiliki kelayakan akademik yang tinggi sahaja tidak mencukupi, graduan juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran digital, kemahiran insaniah dan keupayaan menyesuaikan diri agar lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Nurkia Sawal, 23, berbangsa Melayu berpendapat bahawa realiti di Sarawak menunjukkan peluang pekerjaan masih lebih terhad berbanding negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, terutama dalam sektor berteknologi tinggi dan industri kreatif.
“Keadaan ini menyebabkan ramai belia terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk mendapatkan peluang kerjaya dan gaji yang lebih baik.
“Di sesetengah kawasan luar bandar pula, isu seperti akses kepada latihan kemahiran, internet yang stabil dan peluang pembangunan kerjaya masih menjadi cabaran.
“Saya berharap lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan di Sarawak, termasuk gaji yang lebih setimpal dengan kos sara hidup, latihan kemahiran berbayar serta laluan kerjaya yang lebih jelas untuk golongan muda,” tegasnya.

Bagi Racheal Chiu Pei Nyuk, 25, berbangsa Cina, faktor utama dalam memilih pekerjaan kini ialah pendapatan kerana ia berkait rapat dengan kelangsungan hidup.
“Gaji yang setimpal dengan tugas pekerjaan yang dipikul sangat penting. Kalau pekerjaan yang saya minat tawar gaji yang tak setimpal, saya akan pilih duit.
“Memilih duit demi kelangsungan hidup dan tidak dapat dinafikan bahawa duit sememangnya memberikan kebahagiaan kepada kita terutama generasi Z sekarang.
Ada duit kita senyum, tanpa duit, nak senyum pun ketat kan?
“Antara perubahan yang saya harapkan ialah lebih banyak iklan pekerjaan kosong, tawaran gaji yang lebih setimpal khususnya kepada graduan baharu, serta peluang yang lebih adil tanpa sekatan syarat tertentu,” ujarnya.
Isu ini secara tidak langsung memberi gambaran mengenai jurang antara kelayakan akademik dan tawaran gaji di Sarawak, yang bukan sahaja mempengaruhi keputusan kerjaya generasi muda, malah berpotensi menyumbang kepada penghijrahan tenaga kerja ke luar negeri bagi mencari peluang yang lebih setimpal.
Oleh Masrin Affirah