BINTULU, 17 Oktober: Kesepakatan dalam kalangan ahli dan penyelarasan gerak kerja parti menjadi tumpuan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian N60 Kakus dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Perkara itu ditekankan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PRS Bahagian N60 Kakus yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Presiden PRS, Dato Sri John Sikie Tayai, berkata semua peringkat kepimpinan perlu memastikan persediaan parti dilaksanakan secara terancang, termasuk melalui penganjuran program dan pengukuhan kerjasama antara sayap parti.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak turut menekankan kepentingan Badan Induk, Wanita dan Pemuda bergerak seiring bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut beliau, semua ahli perlu sentiasa bersedia menghadapi PRN yang berkemungkinan diadakan pada tahun ini, selain memastikan hubungan dan kerjasama dalam organisasi terus diperkukuh.
Mesyuarat itu turut menjadi ruang untuk ahli membincangkan hala tuju parti, berkongsi pandangan serta menyelaraskan pelaksanaan aktiviti di peringkat bahagian.
Kerjasama antara semua peringkat kepimpinan dilihat penting bagi memastikan gerak kerja parti berjalan lancar, sekali gus memantapkan organisasi dalam menghadapi perkembangan politik semasa.
AGM berkenaan dihadiri kira-kira 100 ahli dan wakil PRS Bahagian N60 Kakus.
Turut hadir Datin Melia Gelen, Ketua Pemuda PRS N60 Kakus, Dr Jawing Chunggat dan Ketua Wanita PRS Kakus, Olina Josline.
Oleh Faizah Muzidi




