KUALA LUMPUR, 16 Oktober: Menghasilkan pakaian sukan yang sopan bukan sekadar melabuhkan baju atau melonggarkan potongan, sebaliknya memerlukan penelitian terhadap jenis kain dan rekaan supaya pemakai selesa bergerak tanpa mengorbankan penampilan.
Pempengaruh dan pengasas jenama pakaian sukan wanita NADA, Nurin Afiqah Zulkiflee, 30, berkata fabrik tidak melekap pada tubuh, potongan menutupi punggung serta ciri cepat kering antara pertimbangan penting bagi memenuhi keperluan wanita ketika bersenam.
“Pemilihan fabrik paling mencabar kerana semua orang boleh membuat baju, tetapi bukan semua dapat menghasilkan pakaian yang menepati keperluan teknikal sukan. Kadangkala selepas mencuba satu atau dua jenis fabrik, hasilnya masih tidak sesuai dan kami perlu menukarnya, selain meneliti ukuran panjang, lebar serta dimensi potongan.
“Pembangunan satu rekaan berciri teknikal seperti windbreaker yang mempunyai penutup kepala boleh laras dan fabrik kalis air boleh mengambil masa antara enam hingga lapan bulan, dengan proses pemilihan fabrik menjadi fasa paling rumit,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pembukaan kedai fizikal pertamanya di KL East Mall di sini, semalam.

Menurutnya, rekaan baju dan seluar sukan perlu memberi fokus kepada potongan melengkung di bahagian belakang bagi litupan lebih baik serta poket tersembunyi yang praktikal.
“Pendekatan itu bagi memastikan pakaian sukan bukan sahaja memenuhi fungsi ketika bersenam, malah selesa dan sesuai digayakan untuk kegunaan harian,” katanya.
Bagi memastikan rekaan jenama NADA benar-benar praktikal, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang juga pengamal gaya hidup aktif itu menyertai sendiri pelbagai aktiviti kecergasan termasuk HYROX di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
“Saya sendiri menyertai HYROX, jadi saya tahu apa yang diperlukan dari segi potongan, fabrik dan rekaan. Saya mahu wanita bukan sahaja membeli pakaian, tetapi gembira melakukan aktiviti kecergasan dan kekal konsisten kerana dengan cara itu mereka juga boleh memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Selain itu, katanya, pengalaman berdepan ejekan terhadap bentuk tubuh pada usia 15 tahun turut membantunya memahami emosi wanita yang kurang yakin ketika memilih pakaian untuk bersenam.
“Dahulu saya sering memakai pakaian bapa kerana kurang yakin dengan tubuh sendiri. Jaket milik bapa kemudiannya menjadi antara ilham utama di sebalik jenama NADA kerana itulah yang saya sendiri perlukan pada peringkat awal,” katanya.
Minatnya dalam perniagaan pakaian sukan bercambah selepas menjadi jurulatih Zumba pada 2016, apabila ramai pesertanya sering mengenakan jersi atau kemeja-T hitam kerana pilihan pakaian bersesuaian terhad atau terlalu mahal.
“Keadaan itu mendorong saya mengasaskan jenama NADA pada 2020 dengan modal RM1,000 hasil pendapatan mengajar Zumba,” katanya.

Nurin Afiqah mengakui melakukan pelbagai kerja sambilan, termasuk peragaan, serta mengambil masa kira-kira lima tahun untuk mengumpulkan sumber kewangan sebelum mampu memberikan tumpuan lebih besar kepada pengeluaran pakaian sukan yang memerlukan kos tinggi.
“Sokongan suami dalam aspek pengurusan dan sistem perniagaan membantu saya mengharungi pelbagai cabaran dalam membangunkan jenama berkenaan,” katanya.
Sementara itu, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, berkata rekaan pakaian sukan NADA yang sopan dan selesa memudahkan wanita bertudung sepertinya memilih persalinan untuk menjalani gaya hidup aktif.
“Bajunya bagus dan sopan, jadi untuk yang bertudung, senang dan selesa,” katanya yang mengakui membeli jenama itu sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan rakannya.- Bernama





