Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, mengapa kehidupan kita tidak berubah walaupun masa terus berlalu? Mengapa ada orang yang semakin maju, sedangkan kita masih berada di tempat yang sama? Mengapa peluang yang pernah kita miliki tidak menghasilkan sesuatu yang membanggakan? Mengapa kejayaan yang dahulu kita impikan akhirnya menjadi sesuatu yang sukar dicapai?
Apabila keadaan tidak menyebelahi kita, siapakah yang sering dipersalahkan? Ada yang menyalahkan majikan. Ada yang menyalahkan ketua. Ada pula yang menyalahkan rakan sekerja, keluarga, persekitaran, bahkan keadaan ekonomi dan perubahan zaman.
Mungkin ada benarnya sebahagian daripada alasan tersebut. Kita tidak boleh menafikan bahawa kehidupan dipengaruhi oleh pelbagai faktor di luar kawalan diri. Namun, pernahkah kita memikirkan satu kemungkinan yang jarang mahu kita akui?
Bagaimana jika sebahagian daripada masalah yang kita hadapi sebenarnya berpunca daripada sikap, pilihan dan tindakan kita sendiri?
Bayangkan seorang anak muda yang bersungguh-sungguh mencari pekerjaan. Ke sana ke mari menghantar permohonan. Menghadiri temu duga dengan penuh harapan. Setiap hari berdoa agar diberikan peluang memperoleh pekerjaan yang baik. Akhirnya, Allah mengurniakan rezeki yang diharapkan.
Pada minggu pertama, dia begitu bersemangat. Datang awal, berpakaian kemas dan bersedia mempelajari sesuatu yang baharu. Namun, setelah beberapa tahun, semangat itu semakin pudar. Datang bekerja sekadar memenuhi waktu. Tugasan dilaksanakan sekadar mencukupi syarat. Nasihat ketua dianggap membebankan. Teguran pula dilihat sebagai mencari kesalahan.
Peluang belajar tidak dimanfaatkan. Peluang meningkatkan kemahiran dilepaskan. Apabila orang lain dinaikkan pangkat, hatinya mula mempersoalkan keadilan. Katanya, dia tidak diberikan peluang.
Sedangkan mungkin peluang itu pernah hadir berkali-kali, tetapi tidak dihargai ketika berada di hadapan mata. Di sinilah bermulanya persoalan yang perlu kita renungkan bersama. SALAH SIAPA?
Untuk memahami persoalan ini, marilah kita melihat lima pengajaran melalui akronim SALAH. Antaranya yang boleh memudahkan seperti pada lima perspektif berikut :
S – Sedar Akan Kelemahan Diri
Perubahan yang sebenar tidak bermula dengan menyalahkan orang lain. Ia bermula apabila kita berani melihat dan mengenali kelemahan diri sendiri. Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kekurangan. Tidak ada seorang pun yang sempurna dalam pengetahuan, pengalaman, kemahiran mahupun keperibadian. Namun, tidak semua orang sanggup mengakui kekurangan tersebut.
Ada orang berasa dirinya sudah cukup berpengalaman sehingga tidak perlu lagi belajar. Ada yang merasakan kelulusan akademiknya sudah membuktikan segala kemampuan. Ada pula yang terlalu yakin dengan pandangan sendiri sehingga menolak teguran orang lain.
Sebenarnya, pengalaman dan pendidikan merupakan kelebihan yang amat berharga. Tetapi kedua-duanya tidak menjadikan seseorang itu mengetahui segala-galanya.
Dunia sentiasa berubah. Pengetahuan berkembang. Teknologi semakin maju. Kaedah bekerja yang berkesan sepuluh tahun dahulu mungkin tidak lagi sesuai sepenuhnya dengan keperluan hari ini. Orang yang menyedari kelemahannya akan terus belajar. Sebaliknya, orang yang merasakan dirinya sudah mengetahui segala-galanya mungkin berhenti berkembang tanpa disedari.

Dalam kehidupan berorganisasi, keadaan ini cukup penting. Seseorang pekerja mungkin telah berkhidmat selama dua puluh tahun. Namun, tempoh perkhidmatan yang panjang tidak semestinya menggambarkan peningkatan kemampuan jika sepanjang tempoh tersebut dia tidak berusaha memperbaiki pengetahuan dan kemahirannya. Begitu juga seorang ketua. Jawatan yang tinggi bukanlah jaminan bahawa setiap pandangan dan keputusannya sentiasa tepat. Kesedaran terhadap kelemahan bukanlah tanda kegagalan. Sebaliknya, ia merupakan pintu pertama menuju kemajuan.
Dalam Islam, muhasabah diri merupakan amalan yang amat dituntut. Kita diajar supaya sentiasa menilai perbuatan, memperbaiki kesilapan dan tidak membiarkan keangkuhan menguasai hati. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Hasyr, ayat 18, agar setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakan untuk hari esok.
Peringatan ini mengajak kita menilai bukan sahaja apa yang telah dilakukan, tetapi juga ke mana arah kehidupan yang sedang kita bina. Justeru, sebelum bertanya mengapa orang lain tidak membantu kita maju, tanyakan dahulu, apakah yang telah aku lakukan untuk memperbaiki diriku hari ini?
A – Akui Kesilapan, Jangan Menyalahkan
Antara perkara paling sukar dalam kehidupan ialah mengakui bahawa kita sendiri pernah membuat keputusan yang salah. Mengapa? Kerana manusia mempunyai ego. Kita mahu dilihat betul. Kita mahu dihormati. Kita mahu orang lain memahami alasan dan keadaan kita.
Apabila berlaku kegagalan, kita cenderung mencari penjelasan yang dapat mempertahankan diri. Jika kerja tidak siap, kita menyalahkan masa. Jika prestasi merosot, kita menyalahkan persekitaran. Jika tidak diberikan tanggungjawab lebih besar, kita mungkin menyalahkan ketua.
Sedangkan persoalan yang lebih penting ialah sama ada kita benar-benar telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Bayangkan seorang pekerja yang sering datang lewat, kurang bersedia dan tidak menunjukkan kesungguhan meningkatkan prestasi. Apabila rakannya mendapat pengiktirafan, dia mula berasa kecewa. Dia merasakan dirinya dipinggirkan.
Namun, apabila diteliti semula, rakannya mungkin lebih rajin belajar, lebih bersedia menerima tugasan dan lebih bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan. Dalam keadaan sedemikian, adakah wajar kita hanya menyalahkan orang lain?
Sudah tentu tidak semua kegagalan berpunca daripada diri sendiri. Ada kalanya keputusan dibuat secara tidak adil. Ada keadaan yang benar-benar berada di luar kemampuan kita. Namun, kita perlu membezakan antara perkara yang boleh dikawal dengan perkara yang tidak mampu kita tentukan.
Kita mungkin tidak dapat mengawal tindakan semua orang, tetapi kita masih boleh mengawal sikap dan tindak balas sendiri. Mengakui kesilapan bukan bermakna merendahkan maruah diri. Sebaliknya, ia memperlihatkan kematangan seseorang dalam menghadapi realiti kehidupan.
Orang yang berani berkata, “Saya telah tersilap dan saya mahu memperbaikinya,” sebenarnya telah mengambil satu langkah besar menuju kejayaan. Dalam Islam, pintu taubat dan pembaikan sentiasa terbuka selagi kita masih diberikan kesempatan hidup.
Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11, yang membawa maksud bahawa “Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini mengingatkan kita tentang pentingnya usaha memperbaiki diri, di samping menyedari bahawa segala perubahan tetap berada dalam ketentuan Allah.
Janganlah ego menyebabkan kita terus mempertahankan kesilapan yang akhirnya merugikan diri sendiri. Kadangkala, satu pengakuan yang ikhlas lebih berharga daripada seribu alasan untuk mempertahankan kesalahan.
L – Lihat Peluang, Jangan Disia-siakan
Dalam kehidupan, peluang tidak semestinya datang dalam bentuk yang kita harapkan. Ada peluang hadir melalui pekerjaan. Ada melalui tugasan yang mencabar. Ada melalui teguran ketua. Ada juga melalui kegagalan yang memaksa kita mempelajari sesuatu yang baharu.
Malangnya, tidak semua peluang dapat dikenali ketika ia hadir. Kita sering menganggap peluang sebagai sesuatu yang menyeronokkan, menguntungkan atau memberikan kedudukan lebih baik. Sedangkan peluang untuk belajar mungkin datang bersama kesukaran.
Peluang menjadi lebih matang mungkin hadir melalui teguran. Peluang membina kemampuan pula mungkin datang melalui tanggungjawab tambahan yang pada awalnya terasa membebankan.
Pernahkah kita mendengar seseorang berkata: “Kalau dahulu saya tahu, tentu saya tidak akan melepaskan peluang itu.” Ungkapan ini menggambarkan satu hakikat kehidupan. Nilai sesuatu peluang kadangkala hanya disedari setelah peluang tersebut berlalu.
Seorang pekerja yang diberikan peluang mengikuti latihan mungkin menganggapnya membuang masa. Tetapi beberapa tahun kemudian, apabila organisasi memerlukan kemahiran tersebut, barulah dia menyedari kerugian akibat tidak memanfaatkannya.
Begitu juga dengan nasihat orang yang lebih berpengalaman. Kadangkala kita menolaknya kerana beranggapan keadaan sekarang sudah berbeza. Kita merasakan pandangan sendiri lebih sesuai dengan perkembangan semasa. Benar, pengalaman lama tidak semestinya memberikan semua jawapan kepada cabaran baharu. Namun, pengalaman tersebut mengandungi pengajaran yang boleh membantu kita mengelakkan kesilapan yang sama.
Orang yang bijaksana bukan sekadar belajar daripada pengalaman sendiri. Dia juga mengambil iktibar daripada pengalaman orang lain. Dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi dan perubahan keperluan masyarakat, sikap suka belajar menjadi semakin penting.
Kita tidak boleh hanya berharap pengalaman semalam akan menjamin kemampuan menghadapi hari esok. Ilmu perlu ditambah. Kemahiran perlu diperbaharui. Pemikiran perlu terbuka. Jangan menunggu sehingga kita ketinggalan barulah mahu menghargai peluang yang pernah diberikan. Rezeki memang datang daripada Allah. Namun, manusia tetap dituntut berikhtiar, berusaha dan menggunakan kesempatan yang dikurniakan dengan penuh amanah.
A – Ambil Tindakan Untuk Berubah
Kesedaran tanpa tindakan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ramai orang mengetahui kelemahan sendiri. Ramai juga menyedari bahawa kehidupan mereka memerlukan perubahan. Tetapi tidak semua orang benar-benar bertindak.
Ada yang berkata mahu berubah, tetapi masih mengekalkan kebiasaan lama. Ada yang mahu berjaya, tetapi tidak sanggup meningkatkan usaha. Ada yang mengimpikan kehidupan lebih baik, tetapi terus menangguhkan perkara yang sepatutnya dilakukan hari ini. Mengapa keadaan ini berlaku?
Kerana perubahan memerlukan disiplin, kesabaran dan kesanggupan meninggalkan keselesaan. Kita mungkin sudah biasa dengan cara bekerja tertentu. Sudah selesa dengan rutin harian. Sudah mempunyai lingkungan pemikiran yang dirasakan mencukupi. Apabila diminta berubah, timbul perasaan tidak selesa.
Namun, kita perlu memahami bahawa perubahan bukan semestinya bermaksud membuang segala yang lama. Ada nilai lama yang perlu dipertahankan seperti amanah, kejujuran, disiplin, hormat-menghormati dan kesungguhan bekerja.
Yang perlu diubah ialah sikap dan kaedah yang tidak lagi membawa kebaikan. Perubahan juga tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Seorang pekerja boleh memulakannya dengan datang lebih awal, menyusun keutamaan tugas, meningkatkan pengetahuan dan berusaha memberikan hasil kerja yang lebih berkualiti.
Seorang ketua pula boleh memulakan perubahan dengan mendengar pandangan warga kerja, memperbaiki komunikasi, membuat keputusan berdasarkan fakta dan menunjukkan teladan yang baik. Dalam kehidupan peribadi, perubahan boleh bermula dengan menjaga solat, memperbaiki hubungan keluarga, mengawal emosi dan menggunakan masa dengan lebih bermanfaat. Perkara kecil yang dilaksanakan secara berterusan mampu membentuk perubahan besar dalam jangka panjang.
Kita juga perlu menerima hakikat bahawa perjalanan memperbaiki diri tidak semestinya sentiasa lancar. Ada kalanya kita akan tersilap lagi. Ada masanya semangat menjadi lemah. Ada ketika usaha tidak menghasilkan keputusan seperti yang diharapkan. Namun, kegagalan sementara tidak bermaksud perjuangan telah berakhir.
Jatuh bukanlah penamat kehidupan. Yang lebih merugikan ialah apabila kita memilih untuk terus berada di tempat kita terjatuh. Beranilah bangkit, menilai semula langkah dan mencuba dengan pendekatan yang lebih baik. Usaha yang disertai doa dan tawakal merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.
H – Hidup Dengan Hikmah Dan Harapan
Akhirnya, segala pengalaman hidup sepatutnya menjadikan kita manusia yang lebih matang, bukan semakin keras hati. Kesilapan semalam perlu dijadikan pengajaran. Kejayaan pula perlu disambut dengan kesyukuran. Kita tidak perlu menghabiskan kehidupan dengan terus menghukum diri atas kesalahan yang telah berlaku. Sebaliknya, belajarlah memaafkan diri setelah benar-benar mengakui kesilapan, memperbaiki akibatnya sedaya mungkin dan berusaha tidak mengulanginya.
Ada orang yang terlalu lama hidup dalam penyesalan sehingga terlupa bahawa hari ini masih menyediakan ruang untuk berubah. Dia terus memikirkan peluang yang telah hilang, keputusan yang tersilap dan masa yang tidak mungkin kembali. Sedangkan masa hadapan belum selesai ditulis.
Selagi Allah mengurniakan kehidupan, selagi itulah kita mempunyai tanggungjawab untuk berusaha menjadi lebih baik. Hikmah mengajar kita bahawa tidak semua perkara berlaku mengikut kehendak sendiri. Ada usaha yang berjaya. Ada yang mengambil masa lebih lama. Ada pula yang tidak menghasilkan apa yang kita harapkan.
Namun, setiap pengalaman boleh mendidik kita sekiranya dihadapi dengan hati yang terbuka. Jangan terlalu cepat menghukum orang lain hanya kerana mereka melakukan kesilapan. Kita sendiri pernah tersalah langkah. Jangan pula memandang rendah orang yang sedang berusaha bangkit daripada kegagalan.
Mungkin hari ini dia sedang melalui proses pembelajaran yang pernah kita lalui dahulu. Bagi seorang ketua, teguran seharusnya bertujuan membimbing, bukan sekadar mencari kesalahan. Bagi seorang pekerja, teguran pula perlu dilihat sebagai kesempatan untuk menilai diri, bukannya terus dianggap sebagai penghinaan. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab membina suasana yang menggalakkan pembelajaran dan penambahbaikan.
Inilah hikmah kehidupan yang perlu difahami. Kita tidak akan sentiasa betul, tetapi kita boleh sentiasa berusaha memperbetulkan diri. Allah SWT mengingatkan dalam Surah az-Zumar, ayat 53, agar hamba-hamba-Nya tidak berputus asa daripada rahmat Allah.
Peringatan ini memberikan harapan bahawa sebesar mana pun kesilapan yang pernah dilakukan, jalan untuk kembali kepada kebaikan masih terbuka. Justeru, hiduplah dengan keyakinan bahawa masa hadapan boleh menjadi lebih baik melalui usaha, doa, kesabaran dan pertolongan Allah.
Jawapan Yang Selama Ini Kita Cari
Apabila kita kembali merenung persoalan asal, “Salah Siapa?”, mungkin jawapannya tidak semudah menuding jari kepada seseorang. Ada kesilapan berpunca daripada diri sendiri. Ada pula yang dipengaruhi oleh keputusan orang lain, kelemahan sistem dan keadaan yang tidak dapat kita kawal.
Namun, mencari siapa yang bersalah semata-mata tidak semestinya menyelesaikan masalah. Persoalan yang lebih penting ialah, apakah yang boleh aku pelajari, apakah yang perlu aku perbaiki dan apakah tindakan yang mesti aku lakukan selepas ini?
Kita tidak boleh mengubah semalam. Tetapi kita masih boleh menentukan bagaimana hari ini digunakan. Janganlah terlalu sibuk melihat kejayaan orang lain sehingga terlupa membina kemampuan sendiri. Jangan pula menjadikan kelemahan orang lain sebagai alasan untuk tidak memperbaiki diri.
Dalam kehidupan berorganisasi, kemajuan tidak akan terhasil hanya kerana wujudnya perancangan yang hebat. Ia memerlukan manusia yang bersedia belajar, menerima teguran, menghargai peluang dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Begitu juga dalam kehidupan peribadi. Kejayaan bukan sekadar memiliki pekerjaan, jawatan, harta atau pengiktirafan. Kejayaan juga bermaksud menjadi insan yang semakin mengenali diri, semakin bermanfaat kepada orang lain dan semakin dekat kepada Allah.
Akhirnya, mungkin selama ini kita terlalu banyak bertanya mengapa kehidupan tidak memberikan apa yang kita inginkan. Kini sudah tiba masanya kita bertanya apakah yang telah kita lakukan dengan segala nikmat, kemampuan dan peluang yang Allah kurniakan.
Andai dahulu kita pernah leka, hari ini kita boleh kembali berusaha. Andai dahulu kita pernah ego, hari ini kita boleh belajar mendengar. Andai dahulu kita pernah mengalah, hari ini kita boleh memilih untuk bangkit. Kerana yang paling penting bukanlah berapa kali kita tersalah, tetapi sejauh mana kita bersungguh-sungguh memperbetulkan kesalahan tersebut.
Dan apabila hati mula bertanya sekali lagi, “Salah siapa?”, jawablah dengan penuh keinsafan, “Aku tidak mampu mengubah segala yang telah berlaku. Tetapi aku bertanggungjawab memperbaiki apa yang masih mampu aku lakukan. Ya Allah, bimbinglah aku agar hari ini menjadi lebih baik daripada semalam.”
Salah semalam jadikan pengajaran. Peluang hari ini jadikan perjuangan. Hari esok serahkan kepada Allah setelah kita menyempurnakan ikhtiar.
Wallahu ‘alam Bissawab




