10 tahanan imigresen dihantar pulang ke negara asal

Facebook
WhatsApp
JIM Sarawak menghantar pulang 10 tahanan imigresen dari Depot Imigresen Semuja ke Vietnam dan Bangladesh melalui laluan udara semalam.

KUCHING, 17 Oktober: Seramai 10 tahanan imigresen dari Depot Imigresen Semuja dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak semalam.

JIM Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pemindahan itu melibatkan sembilan wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Menurutnya, kesemua tahanan yang dikenali sebagai Orang Yang Dipindahkan (OYD) dihantar pulang melalui pintu masuk udara dengan destinasi ke Ho Chi Minh, Vietnam dan Dhaka, Bangladesh.

JIM Sarawak memastikan urusan dokumentasi, iring kawal dan logistik dilaksanakan dengan selamat serta terkawal sepanjang proses penghantaran pulang tahanan imigresen.

“Proses pemindahan dilaksanakan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

“Operasi ini melibatkan pegawai dan anggota JIM yang bertanggungjawab menguruskan dokumentasi, iring kawal serta logistik bagi memastikan pergerakan tahanan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, setiap proses pemindahan dilaksanakan secara teratur, selamat dan terkawal mengikut prosedur serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.

OPERASI PEMINDAHAN… Seramai sembilan wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh dihantar pulang ke negara asal menerusi operasi yang dikendalikan JIM Sarawak.

JIM Sarawak turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pengurusan tahanan imigresen, termasuk memastikan urusan penghantaran pulang warga asing dilaksanakan dengan teratur.

Usaha itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab jabatan dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.