
BETONG: Peruntukan berjumlah RM245,000 menerusi dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada 16 buah sekolah rendah dan menengah serta sebuah kelab sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar bagi memperkukuh sektor pendidikan dan pembangunan belia.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, bantuan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan pendidikan sebagai asas utama pembentukan modal insan berkualiti.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, RM235,000 disalurkan kepada 11 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di kawasan DUN Layar bagi menyokong pelbagai keperluan serta program pembangunan pendidikan.
Katanya, RM10,000 lagi diperuntukkan kepada Kelab Tenis Betong bagi membantu pelaksanaan aktiviti sukan serta pembangunan bakat dalam kalangan belia di daerah tersebut.

“Pelaburan dalam pendidikan merupakan langkah penting untuk memastikan generasi muda mempunyai ilmu, kemahiran dan daya saing yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian cek MRP kepada semua sekolah di kawasan DUN Layar yang berlangsung di sini semalam.
Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, Sarawak kini memerlukan tenaga kerja yang dinamik dan berkualiti bagi memenuhi permintaan industri moden, selaras dengan pelaksanaan skim pendidikan percuma yang diperkenalkan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan sekolah, khususnya guru besar dan pengetua, supaya memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai hala tuju kerjaya serta peluang pekerjaan yang tersedia di Sarawak.
Beliau yakin bantuan MRP yang disalurkan akan memberi manfaat kepada institusi pendidikan dan komuniti setempat, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman