Sarawak perlu manfaatkan AI, jangan sampai pekerja hilang mata pencarian 

Facebook
WhatsApp
DATO Ahmad hadir Program Jaringan dan Perkongsian Perniagaan anjuran Persatuan Usahawan Sarawak (SEA) di Walk Star Studio, Kuching.

KUCHING, 17 Oktober: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi dalam sektor perniagaan di Sarawak perlu dilaksanakan secara terancang supaya kemajuan teknologi tidak menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan.

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, walaupun teknologi mampu meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan memperluas pasaran, majikan perlu mengambil kira kesannya terhadap kebajikan pekerja serta keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka.

“Penggunaan teknologi seperti sistem pesanan melalui kod QR, pembayaran digital dan perkhidmatan automatik kini semakin meluas di restoran, hotel, bank, pasar raya serta pelbagai sektor perkhidmatan.

“Semua kemajuan ini baik dan wajar dimanfaatkan kerana mampu meningkatkan kecekapan serta daya saing perniagaan.

“Namun, kita juga perlu bertanya, apakah nasib pekerja yang tugas mereka semakin banyak diambil alih oleh mesin, aplikasi dan kecerdasan buatan?,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Jaringan dan Perkongsian Perniagaan anjuran Persatuan Usahawan Sarawak (SEA) di Walk Star Studio, di sini, hari ini.

Beliah mengulas lanjut, di sebalik setiap pekerja itu ada seorang manusia, dan lazimnya sebuah keluarga yang bergantung kepada pendapatannya.

“Sekiranya automasi dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti, kita mungkin berdepan dengan peningkatan pengangguran dan pelbagai masalah sosial,” jelasnya.

Ahmad turut menegaskan bahawa latihan semula dan peningkatan kemahiran bukan penyelesaian mudah kepada masalah kehilangan pekerjaan kerana setiap individu mempunyai tahap pendidikan, umur, kebolehan serta peluang latihan yang berbeza.

Katanya, pekerja yang telah berkhidmat selama puluhan tahun dalam sesuatu bidang mungkin menghadapi kesukaran untuk beralih kepada pekerjaan baharu, justeru mereka memerlukan sokongan praktikal, latihan bersesuaian dan peluang pekerjaan yang benar-benar tersedia.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha perniagaan supaya tidak mengabaikan hubungan sesama manusia dengan menggantikan sepenuhnya perkhidmatan bersemuka menggunakan mesin atau aplikasi digital.

“Ada pelanggan yang masih lebih selesa bercakap dengan penyambut tetamu hotel, juruwang bank, pekerja kaunter atau kakitangan yang boleh membantu mereka secara bersemuka.

“Gunakan teknologi untuk membantu pekerja menjalankan tugas dengan lebih baik, bukannya terus menganggap automasi sebagai alasan untuk mengurangkan tenaga kerja,” tambahnya.

Beliau turut menggesa institusi pendidikan, pihak industri dan pembuat dasar memastikan kursus serta latihan kemahiran sentiasa relevan dengan keperluan ekonomi masa hadapan, termasuk bidang teknologi digital, AI dan pembuatan termaju.

Pada masa sama, Ahmad berkata, pembangunan ekonomi Sarawak mesti menyediakan peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang tidak mempunyai kemahiran teknologi tinggi.

“Kita mahu melihat Sarawak terus maju. Kita mahu usahawan kita berjaya, industri berkembang dan ekonomi menjadi lebih kukuh serta berdaya saing.

“Tetapi dalam mengejar kemajuan itu, jangan sampai kita meninggalkan rakyat kita sendiri.

“AI dan automasi hanyalah alat untuk meningkatkan kecekapan. Tanggungjawab kita sebagai manusia adalah untuk melindungi maruah, sumber rezeki dan masa depan sesama insan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha SEA di bawah kepimpinan presidennya, Ts. Khairulnizam Dato Sri Mohamed Khalid dalam menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk membina jaringan, berkongsi pengalaman dan meneroka peluang kerjasama bagi memperkukuh ekonomi Sarawak.