
LAWAS: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari meneruskan usaha kebajikan dengan menyantuni pesakit di wad Hospital Lawas menerusi Program Bantuan Pesakit.
Program berkenaan diketuai Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari Durahman Salleh bersama jawatankuasa pusat Pemuda PBB Cawangan Bukit Sari Lawas.
Menerusi program kebajikan itu, pesakit menerima sumbangan berupa hamper, tujuh unit kipas dan bantuan wang tunai bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang menjalani rawatan.

“Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Pergerakan Pemuda PBB Bukit Sari dalam usaha membantu golongan yang memerlukan, selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.”
“Sepanjang program berlangsung, rombongan turut meluangkan masa beramah mesra serta bertanya khabar pesakit dan ahli keluarga mereka sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program berkenaan turut disertai ahli-ahli Pergerakan Wanita PBB Bukit Sari yang diketuai Aujinajian Garip.
Oleh Adeng Edrus