
KUCHING: Peminat sukan badminton tempatan berpeluang mempamerkan bakat apabila Pertandingan Badminton Terbuka Siburan 2026 bakal berlangsung dari 1 hingga 3 Mei ini di Dewan Badminton Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Badminton BBP Siburan dengan kerjasama Persatuan Sukan dan Kebajikan BBP Siburan, yang bertujuan menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sukan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain badminton dari pelbagai peringkat.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM80 bagi setiap regu, dengan pembayaran boleh dibuat secara tunai atau pindahan bank kepada Persatuan Sukan dan Kebajikan Balai Bomba Siburan melalui akaun RHB Bank.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 26 April ini, manakala sesi cabutan undi akan diadakan pada 30 April.
Penganjur turut menawarkan hadiah menarik kepada para pemenang, dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala iringan, manakala naib juara menerima RM500 serta piala iringan.
Pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat pula akan menerima RM150 berserta piala iringan.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghubungi Ahmad Shah di talian 013-5711352, Hafdan di 011-10565827 atau Denis di 011-26976204 untuk maklumat lanjut.
Penganjur berharap kejohanan ini mendapat sambutan menggalakkan serta menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton di kawasan Siburan dan sekitarnya.